Polis Ambil Keterangan Ibu Syafia

Diterbitkan: Rabu, 3 Mac 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Polis telah mengambil keterangan ibu Syafia Humairah Sahari, 3, yang mati akibat didera di Kampung Batu 30, Ulu Yam, Batang Kali, dekat sini, Khamis lepas.

Timbalan Ketua Siasatan Jenayah Selangor Asisten Komisioner Omar Mammah berkata Nurhanim Aziz, 25, telah memberi keterangan pada pukul 5 petang semalam berhubung kejadian yang menimpa anak perempuannya itu.

"Bagaimanapun tiada sebab untuk polis menahannya buat masa ini," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Pemantapan Petugas Menangani Jenayah yang dirasmikan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein di Kota Damansara di sini hari ini.

Ketika diminta mengulas mengenai dakwaan beberapa lagi individu akan ditahan kerana disyaki terlibat dalam kes kematian kanak-kanak itu, Omar bagaimanapun enggan mengulas.

Suspek utama dalam kes itu, seorang pemandu teksi berusia 28 tahun, kini ditahan reman selama tujuh hari sehingga 4 Mac ini.

Syafia Humairah dilaporkan didera oleh teman lelaki ibunya dan meninggal dunia dalam perjalanan ke Hospital Kuala Kubu Baharu setelah mengalami pendarahan di otak dan pecah pada bahagian abdomen.

Sementara itu, Omar berkata polis telah menahan seorang lelaki berumur lingkungan 40-an yang dipercayai terlibat dalam kes samun dan bunuh seorang warga emas di Bandar Baru Sungai Buaya, Hulu Selangor Sabtu lepas.

"Suspek terbabit diberkas pada pukul 3.15 awal pagi ini di satu kawasan di Taman Prima, Kepong," katanya.

Beliau berkata siasatan lanjut ke atas suspek telah membawa kepada penemuan sebilah pisau yang digunakan suspek dalam kejadian itu yang disembunyikannya di kawasan semak di Jinjang Utara, Kepong.

"Polis masih lagi memburu seorang lagi rakan suspek, seorang wanita berumur lewat 30an. Kita yakin akan dapat memberkasnya dalam tempoh terdekat," tambah Omar.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8.10 malam itu, seorang lelaki warga emas maut ditikam selepas pulang dari surau bersama isterinya. Warga emas yang berumur 70 tahun itu meninggal dunia sejurus selepas dihantar ke sebuah klinik akibat kecederaan parah diperut. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan