PKR Masih Kukuh: Saifuddin

Diterbitkan: Rabu, 3 Mac 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KOTA BHARU: Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Saifuddin Nasution Ismail berkata, tidak ada pergolakan dalam parti itu walaupun beberapa pemimpinnya sudah keluar parti kerana kecewa dengan kepimpinan tertinggi PKR.

Sebaliknya, kata beliau, apa yang berlaku adalah satu "penambahbaikan" kepada parti itu kerana mereka yang mengisytiharkan keluar parti sebenarnya terdiri daripada kalangan "anggota yang bermasalah".

"Hakikatnya tiga yang keluar parti itu adalah kalangan yang sedang dihadapkan ke lembaga disiplin parti dan rakyat boleh menilai siapa mereka.

"Tidak berlaku pergolakan dalaman parti dan PKR masih kukuh," katanya kepada pemberita di sini semalam.

Saifudin Nasution berkata demikian mengulas tindakan Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim, bekas Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Mohammad Fairus Khairuddin dan terbaru, Ahli Parlimen Nibong Tebal, Tan Tee Beng yang mengumumkan keluar PKR.

Zahrain dan Tan kini menjadi wakil rakyat Bebas manakala Mohammad Fairus mengumumkan menyertai Umno.

Saifudin Nasution juga menafikan dakwaan bekas Setiausaha Agung PKR, Datuk Salehuddin Hashim, kononnya lebih 10 Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PKR bakal keluar parti dan menjadi wakil rakyat Bebas.

"Sesiapa pun boleh mendakwa 10 atau 15 anggota Parlimen dan ADUN akan keluar parti dan saya tidak percaya keadaan seperti itu akan berlaku," katanya.

Beliau berkata, 500,000 anggota parti itu di seluruh negara akan tetap setia dengan PKR. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan