Ahli Parlimen Nibong Tebal Keluar PKR

Diterbitkan: Selasa, 2 Mac 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Nibong Tebal, Tan Tee Beng hari ini mengumumkan beliau keluar daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkuatkuasa serta merta kerana "kecewa dengan kepimpinan parti itu".

Tan berkata, beliau kesal dengan sikap kepimpinan PKR yang sanggup mengorbankan maruah dan prinsip parti hanya kerana mahu memastikan impian mereka tercapai.

"Malah mereka sanggup mengambil sikap menutup mata dengan masalah yang dihadapi oleh PKR Pulau Pinang akibat keangkuhan Lim Guan Eng (Ketua Menteri Pulau Pinang).

"Saya tidak faham mengapa kepimpinan PKR Pulau Pinang terlalu tunduk kepada Lim sehingga sanggup menutup segala kelemahan beliau," katanya membaca kenyataan lima muka surat dalam sidang akhbar di sini semalam.

Tan, yang turut mengumumkan meletakkan semua jawatan dalam parti dan menjadi wakil rakyat Bebas berkata, beliau tidak sanggup tunduk kepada sikap diktator dan cara kerja Lim kerana keangkuhan Setiausaha Agung DAP itu yang didakwanya "sangat melampau sehingga melayan wakil rakyat PKR seperti anjing".

"Beliau suka mempolitikkan semua isu-isu remeh dan langsung tidak boleh menerima teguran dan kritikan serta cuba menjadikan kerajaan Pulau Pinang sebagai kerajaan milik keluarganya.

"Malangnya ramai yang memilih untuk berdiam diri dan menjadi pak sanggup, tiada sesiapa berani bersama saya untuk menyatakan kebenaran," katanya yang ditemani penyokong kuatnya, Datuk Salahuddin Hashim, bekas Setiausaha Agung PKR.

Pada Rabu lepas, Tan menghadap Lembaga Disiplin PKR berhubung kenyataannya yang mengecam Lim, dan juga kritikannya yang mempertikaikan kedudukan Dr Syed Husin Ali sebagai Timbalan Presiden PKR.

Bagaimanapun selepas dua jam menghadap lembaga disiplin, Tan akhirnya bersetuju memohon maaf kepada timbalan presiden parti, namun enggan meminta maaf kepada Lim.

Tan turut bercadang untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Lim, Ahli Parlimen Jelutong, Jeff Ooi dan Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, P. Ramasamy yang mengatakan bahawa Tan mencampuri urusan tender terbuka.

"Saya telah mengambil inisiatif hadir ke pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk membuat laporan mengenai tohmahan itu, saya percaya itu sudah cukup untuk membuktikan kepada rakyat akan ketelusan saya.

Tan berkata, keputusan untuk meninggalkan parti juga diambil kerana ketiadaan saluran khusus dalam PKR untuk mengemukakan masalah serta apa yang terjadi membuktikan bahawa kepimpinan parti tidak boleh disentuh langsung.

"Bukan sahaja mereka gagal menyelesaikan masalah, mereka mengenakan tindakan disiplin terhadap saya tanpa menyiasat aduan yang saya kemukakan, malahan saya diberi amaran untuk tidak mengkritik secara terbuka. Ini adalah sangat tidak adil," katanya.

Tan berkata, PKR dan parti pakatan tidak akan membawa apa-apa perubahan seperti yang dilaungkan, dan beliau kesal kerana tiada sebarang tindakan yang jelas diambil oleh Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang juga Ketua Pembangkang untuk menyelesaikan masalah dalaman parti dan pakatan yang ketara.

Walaupun telah menjadi ahli Parlimen Bebas tanpa menyebelahi mana-mana parti, Tan berharap beliau akan dapat membuktikan kepada rakyat Nibong Tebal bahawa tindakan ini membawa faedah kepada mereka.

"Rakyat tidak sepatutnya menjadi korban perbezaan politik. Saya tidak rela melihat rakyat Nibong Tebal dinafikan nikmat pembangunan dan membiarkan harapan mereka disia-siakan dengan pelbagai slogan dan retorik kosong," katanya.

Tan juga memohon kepada Kerajaan Persekutuan supaya memberi layanan yang adil dan saksama dengan menyalurkan peruntukan pembangunan kepada kawasannya agar beliau dapat melaksanakan tugasnya dengan berkesan dan lebih efisien untuk membantu rakyat dan warga yang memerlukan.

Sementara itu, Salahuddin berkata, selepas ini beliau menjangkakan lebih 10 wakil rakyat PKR akan keluar parti, bagaimanapun beliau enggan mengulas lanjut.

"Saya rasa ada (keluar parti), jumlahnya kira sahajalah dari jumlah sedia ada, tolak sosialis, tolak NGO liberal, tolak kroni, pada pendapat saya itulah yang akan menjadi jumlahnya," katanya.

Pada 12 Februari lepas, Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim mengumumkan keluar dari PKR berkuatkuasa serta merta kerana kecewa dengan kepimpinan Lim serta kesal dengan perjuangan PKR dalam parti pakatan.

Semalam, bekas Timbalan Ketua Menteri 1, Mohammad Fairus Khairuddin mengumumkan keluar PKR dan menyertai Umno kerana hilang kepercayaan kepada kepimpinan PKR yang gagal memperjuangkan kepentingan bangsa, agama dan negara. - BERNAMA

iklan

Video

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Jumaat, 15 September 2017 2:00 PM

Cassidy Malu Cakap Melayu?

Jumaat, 15 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Payslip - Semangat Yang Hilang

Khamis, 14 September 2017 4:00 PM

Farida Jalal Mahu Lebih Kolaborasi Malaysia-Bollywood

Khamis, 14 September 2017 9:00 AM

Faye Kusairi Menangis Tonton Diri Sendiri

Rabu, 13 September 2017 2:00 PM

Saya Tak Jual Rupalah! - Erwin Dawson

Rabu, 13 September 2017 9:00 AM

EKSKLUSIF! Kisah Elizabeth Tan Nak Bunuh Diri

Kolumnis

iklan

Iklan