Sultan Perak Kesal Laporan Silap Mengenai Masjid Lama Kuala Dal

Diterbitkan: Isnin, 1 Mac 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA KANGSAR: Sultan Perak Sultan Azlan Shah kesal dengan kesilapan laporan sebuah akhbar berbahasa Inggeris semalam mengenai Masjid Ihsaniah Iskandariah atau Masjid Lama Kampung Kuala Dal di Padang Rengas dekat sini yang kononnya terbiar dan tidak dimanfaatkan sedangkan Jabatan Warisan Negara sudah melakukan kerja konservasi.

Dalam lawatan mengejut ke masjid itu hari ini bersama Pesuruhjaya Warisan, Prof Emeritus Datin Paduka Zuraina Majid, baginda bertitah bahawa laporan berkenaan boleh menimbulkan persepsi salah dalam kalangan masyarakat.

Akhbar itu semalam menyiarkan artikel seorang penulis tamu mengenai masjid-masjid lama serta menyiarkan gambar lama Masjid Insaniah Iskandariah iaitu sebelum kerja konservasi dilakukan.

Sultan Azlan bertitah penyelidikan harus dijalankan terlebih dahulu sebelum artikel seperti itu dikeluarkan.

Baginda menitahkan supaya akhbar berkenaan membetulkan semula laporan itu kerana Jabatan Warisan Negara sudah melakukan konservasi.

Zuraina pula berkata laporan akhbar berkenaan tidak tepat kerana kerja konservasi telah dijalankan akhir 2008 dan siap pada Disember lepas.

"Ia sudah siap sepenuhnya dan diserahkan di bawah jagaan ahli jawatankuasa masjid. Gambar yang disiarkan adalah gambar beberapa tahun lalu dan bukan yang terkini," katanya.

Zuraina berkata kerja konservasi terhadap masjid itu turut menggunakan teknologi lama supaya tidak mengubah rekabentuk asalnya. Katanya sejak kerja membaik pulih selesai dilaksanakan, pelbagai aktiviti telah dijalankan di masjid berkenaan termasuk bagi sambutan Maulidur Rasul baru-baru ini.

Beliau berkata semasa lawatan hari ini, Sultan Perak melahirkan rasa puas hati dengan kerja baik pulih yang dijalankan oleh Jabatan Warisan tanpa mengetepikan apa-apa unsur dan sifat keaslian masjid itu.

Menurutnya, sebanyak 11 projek konservasi terhadap masjid, bangunan lama, tokong dan beberapa lagi tinggalan sejarah di Perak telah diselesaikan dan kini sebanyak tiga lagi projek sedang dijalankan iatu di Lenggong, Masjid Ubudiah Kuala Kangsar dan Pejabat Pos Besar lama di Ipoh.

Masjid Ihsaniah Iskandariah dibina pada 1936 dan dibiayai Al-Marhum Paduka Seri Sultan Iskandar Shah, Sultan Perak yang ke-30. Menurut catatan daripada laman web Jabatan Warisan Negara, masjid itu dibina setelah Sultan Iskandar Shah menunaikan nazar apabila seorang daripada anakanda baginda sembuh daripada gering.

Masjid berkenaan terletak di Kampung Kuala Dal, Padang Rengas, 4.8 kilometer dari Kuala Kangsar dan dua kilometer dari Plaza Tol Lebuh raya Utara-Selatan di Kuala Kangsar.

Antara keunikan masjid dua tingkat itu ialah rekabentuk binaannya yang menyerupai sangkar burung dan keseluruhan dindingnya dibuat daripada buluh minyak yang dianyam atau dikenali sebagai "dinding tepas/tepus", tingkapnya yang dihiasi ukiran serta bumbungnya yang kelihatan rata.

Jabatan Warisan Negara juga menyatakan bahawa seni bina masjid itu dikatakan hasil ilham Sultan Iskandar Shah sendiri yang dipengaruhi ciri-ciri seni bina Istana Kenangan di Bukit Chandan, Kuala Kangsar.

Masjid itu tidak digunakan pada 1976 setelah masjid baru yang dikenali sebagai Masjid Al-Wahidiah dibina berhampiran.

Bangunan itu mempunyai ciri sejarah dan seni bina yang unik dan antara masalah yang dihadapi semasa menjalankan kerja konservasi ialah ketiadaan tukang mahir membuat anyaman serta kekurangan buluh minyak tempatan sebelum ia mendapatkan tukang membuat anyaman serta sumber buluh dari Perlis.

Kerja konservasi telah dilaksanakan dengan menggunakan tatacara kerja yang sistematik bagi mengekalkan keaslian senibina asal. Majlis penyerahan semula masjid berkenaan diadakan pada 17 Dis 2009 dan Zuraina telah menyerahkan replika kunci kepada Pengerusi Masjid Lama Kampung Kuala Dal, Jaafar Mohamad selepas kerja konservasi siap. - BERNAMA

iklan

Video

Ahad, 19 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Cikgu Meera - Oh Sayangku

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Jumaat, 17 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Hyper Act - Kasih

Khamis, 16 November 2017 2:00 PM

“Kalaulah Diberi Watak Utama...” - Riz Amin

Khamis, 16 November 2017 9:05 AM

Tak Tipu! Rawang Bypass Memang Gayat

Khamis, 16 November 2017 9:00 AM

Sufi Tak Mampu Tolak Haqiem Rusli

Rabu, 15 November 2017 9:00 AM

Bakat Mafarikha Tersia-sia Enam Tahun

Selasa, 14 November 2017 2:00 PM

Nasi Kandar 3 Jam!

Kolumnis

iklan

Iklan