Orang Ramai Perlu Lapor Kes Penderaan Kanak-kanak Kepada Pihak Berkuasa

Diterbitkan: Isnin, 1 Mac 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Golongan pengamal undang-undang menggesa orang ramai menunaikan tanggungjawab sosial masing-masing dengan melaporkan kes penderaan kanak-kanak kepada pihak berkuasa, walaupun belum ada undang-undang yang mewajibkan mereka berbuat demikian.

Peguam Datuk Mohd Hafarizam Harun berkata secara umumnya, semua rakyat Malaysia turut bertanggungjawab atas kematian Syafia Humairah Sahari yang berusia tiga tahun baru-baru ini kerana sikap mereka yang tidak mengambil peduli tentang perkara yang berlaku di kawasan kejiranan mereka.

"Dalam kes Syafia ini, mereka yang mendakwa mengetahui bahawa kanak-kanak itu menjadi mangsa penderaan, dianggap bersubahat dalam pembunuhannya kerana mereka tidak mencegahnya atau gagal bertindak bagi menghalang perbuatan tidak berperikemanusiaan itu dilakukan terhadap kanak-kanak berkenaan," kata beliau.

Hafarizam berkata perbuatan menjadikan kanak-kanak sebagai tempat melepaskan marah atau kekecewaan adalah sesuatu yang tidak wajar dilakukan dan mereka yang melihat kejadian itu, tetapi tidak memaklumkannya kepada pihak berkuasa, telah mengabaikan tanggungjawab mereka.

Peguam itu berkata beliau tidak lagi merotan anaknya selepas sepasang suami isteri dari Malta mengingatkan beliau semasa menuntut di London kira-kira 10 tahun lepas bahawa kanak-kanak yang masih kecil tidak wajar dikenakan hukuman itu.

Seorang peguam berpengalaman, yang juga pensyarah di Universiti Utara Malaysia (UUM), A. Athimulam berkata oleh kerana undang-undang sedia ada tidak menyentuh tentang perkara ini, mungkin Pejabat Peguam Negara perlu menelitinya dan menasihati kerajaan tentang cara menggalakkan orang ramai tampil membantu agensi penguatkuasaan dalam mencegah perbuatan mendera kanak-kanak.

"Ini lebih merupakan isu tanggungjawab moral, bukan isu undang-undang, yang tidak menyebut bahawa adalah menjadi kesalahan bagi seseorang yang menyaksikan kejadian seperti ini, tidak membuat laporan mengenainya," kata beliau.

Sejajar dengan itu, Athimulam menggesa semua rakyat Malaysia mengenepikan perbezaan pendapat dan sebaliknya berganding bahu bagi menghapuskan perbuatan mendera kanak-kanak di negara ini.

Syafia dipercayai didera hingga mati di rumahnya di Kg Batu 30, Ulu Yam Lama, Batang Kali Khamis lepas dan laporan awal bedah siasat menunjukkan bahawa kanak-kanak malang itu mengalami pendarahan dalaman pada bahagian kepala, abdomen dan buah pinggang, selain lebam di seluruh tubuh.

Seorang suspek berusia 28 tahun ditahan berhubung kes itu.

Peguam hak asasi manusia Amer Hamzah Arshad berkata sudah tiba masanya pihak berkuasa meneliti peruntukan dalam Kanun Acara Jenayah (CPC), khususnya Seksyen 13, yang menyebut dengan jelas bahawa seseorang individu boleh dihadapkan ke mahkamah sekiranya gagal melaporkan kepada pihak berkuasa kes-kes seperti pembunuhan.

"Seseorang yang menyedari bahawa satu jenayah telah dilakukan, wajib melaporkannya kepada polis, tapi isu di sini ialah berapa ramai yang sedar tentang wujudnya peruntukan ini," kata beliau.

Amer berkata pihak berkuasa perlu mengamalkan pendekatan lebih holistik dengan menyedarkan orang ramai tentang betapa seriusnya kes mendera kanak-kanak.

"Janganlah terus menghukum mereka, mula-mula mereka perlu diberi didikan dan selepas itu barulah tindakan drastik boleh diambil dengan mengheret mereka ke mahkamah," katanya.

Presiden Majlis Peguam Malaysia Ragunath Kesavan berkata undang-undang jelas menyatakan bahawa seseorang yang menyaksikan perlakuan jenayah, mempunyai tanggungjawab sivil untuk melaporkan perbuatan itu.

"Memang mengejutkan apabila orang ramai tidak tampil membuat laporan sedangkan kita ada pelbagai institusi seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat dan badan bukan kerajaan (NGO), selain polis," kata Ragunath.

Beliau berkata orang ramai patut dipersalahkan kerana bersikap tidak ambil kesah hingga menyebabkan semakin banyak kes tidak dilaporkan.

"Pembunuhan Syafia adalah suatu kes menyedihkan kerana ia berlaku akibat tiada tindak balas daripada masyarakat," katanya. - BERNAMA

iklan

Video

Isnin, 25 September 2017 2:24 PM

Bersama Abby Adalah Momen Indah - Memey

Isnin, 25 September 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nadia Brian Bawa 'Beg Doraemon'

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Kolumnis

iklan

Iklan