Mingguan mStar: Pembaca Teruja & Sifatkan Lain Dari Yang Lain...

Diterbitkan: Isnin, 1 Mac 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Orang ramai yang berkunjung ke pasar raya Giant tidak melepaskan peluang membaca Mingguan mStar. Foto THE STAR Oleh: CHAN TAK KONG
Orang ramai yang berkunjung ke pasar raya Giant tidak melepaskan peluang membaca Mingguan mStar. Foto THE STAR Oleh: CHAN TAK KONG

PETALING JAYA: Akhbar Mingguan mStar yang mula diedarkan semalam mendapat sambutan yang sangat menggalakkan daripada orang-ramai yang berkunjung ke pasar raya Giant di Seksyen 13, Shah Alam dan di Gedung Membeli Belah popular One Utama Damansara.

Tinjauan mStar Online mendapati rata-rata pengujung yang ditemui mengakui teruja dengan kandungan dan reka letak sisipan akhbar berbahasa Malaysia The Star yang pertama itu yang diedarkan percuma bersama akhbar mingguan Sunday Star bermula semalam.

Sebanyak 500 naskhah yang diberikan secara percuma di pasar raya Giant habis dalam tempoh dua jam setengah.

Skuad Tour Suria FM turut meluangkan masa di gerai jualan bagi membantu mempromosikan akhbar Mingguan mStar di pasar raya berkenaan.

Pereka Grafik, Wan Syahril Wan Mohd. Noor berkata, insiatif mewujudkan bahan bacaan bahasa Melayu dalam sebuah akhbar bahasa Inggeris merupakan satu usaha yang baru di Semenanjung dan harus dipuji kerana belum ada syarikat penerbitan yang berbuat demikian sebelum ini.

“Ini secara tidak langsung dapat memupuk amalan membaca di kalangan generasi muda dan dalam masa yang sama kita sebagai pembaca dapat menambah ilmu pengetahuan mengenai perkara-perkara lain seperti dekorasi dan etika berpakaian yang sesuai di samping kolum-kolum yang menarik daripada selebriti terkenal seperti Chef Wan dan Sharifah Shawati,” katanya.

Ayah kepada tiga cahaya mata ini turut melahirkan rasa kagumnya terhadap reka letak muka hadapan dan belakang mingguan mStar hari ini yang disifatkannya sebagai kontemporari, bergaya dan memenuhi citarasa orang muda.

“Bagi saya gambar yang digunakan membawa maksud yang sangat signifikan dengan berita utama akhbar ini. Saya harap Mingguan mStar akan terus berjaya pada masa akan datang,” katanya.

Sementara itu, Mohd Fazly Shuib juruteknik Panasonic Bhd berharap akhbar mingguan itu dapat mengekalkan berita-berita yang bersifat eksklusif yang tidak ada dalam akhbar arus perdana yang lain.

“Berita-berita eksklusif yang dipaparkan menarik cuma dari segi ketelusan itu perlu ditekankan. Pembaca akhbar hari ini mahukan berita yang telus dan tidak hanya memetik versi kerajaan sahaja.

“Rakyat mahu tahu apa yang sebenarnya terjadi di sekeliling mereka. Oleh itu, saya harap Mingguan mStar akan mengekalkan ciri-ciri istimewa ini,” katanya.

Seorang lagi pembaca, Salamah Joseph Anthony memuji usaha pihak pengurusan The Star menerbitkan akhbar mingguan dalam bahasa Melayu.

“Ini satu usaha yang baik terutamanya bagi pembaca yang tidak faham bahasa Inggeris. Usaha ini sangat bagus dan saya harap satu hari nanti mingguan mStar akan dijadikan akhbar harian,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Hairunizam Minhaj berkata kandungan sukan perlu ditambah bagi menarik golongan lelaki yang berusia 25 tahun ke atas untuk membaca akhbar mingguan berkenaan.

“Apa yang saya nampak akhbar ini ada banyak berita bersifat santai dan kalau boleh ditambahkan lebih banyak berita sukan kerana setakat ini saya tengok ada satu sahaja kolum untuk sukan. Mungkin dari segi kandungan berita politik dan semasa boleh ditambah untuk edisi akan datang,” katanya.

Hamid Sulaiman, Pemilik Bengkel Autofast berkata dia berharap agar akhbar mingguan itu dapat mengekalkan momentum dan ketepatan berita-berita yang dipaparkan di laman sesawang mStar Online.

“Saya suka baca mStar Online kerana kandungannya padat, ringkas dan yang penting ia cepat berbanding akhbar Online yang lain.

“Saya harap Mingguan mStar dapat mengekalkan momentum yang sama seperti berita online nya,” katanya.

Alex Liew, Eksekutif Kewangan Sime Darby percaya akhbar mingguan itu mempunyai golongan sasarannya tersendiri kerana isi kandungannya yang berbeza daripada akhbar arus perdana yang lain.

“Ini satu inisiatif yang baik oleh akhbar The Star untuk cuba menarik minat masyarakat bandar membaca bahan bacaan bahasa Inggeris dan bahasa Melayu dalam satu akhbar.

“Apa yang penting saya harap akhbar ini boleh memuatkan berita dan peristiwa yang berlaku di luar negara, ini boleh menarik minat mereka yang membaca akhbar mingguan ini,” katanya.

Sementara itu, di pusat beli belah One Utama beberapa pengunjung yang ditemui turut memberikan komen yang positif dengan kelahiran sulung akhbar Mingguan mStar.

Pelajar Komunikasi Dahlia Dhaima, 23, berkata isi kandungan dan penggunaan bahasa yang digunakan dalam akhbar sisipan berkenaan bersifat intelektual.

“Walaupun ada berita hiburan, ia masih bersifat intelektual. Ada imbangan dari sudut berita semasa dan hiburan dan ini tidak terdapat dalam akhbar tabloid yang lain,” kata Dahlia.

Bagi rakannya, Siti Hajar yang juga seorang pelajar kursus kejuruteraan pula meminati reka letak Mingguan mStar yang disifatkannya sangat menarik kerana banyak menggunakan elemen warna dan gambar yang menarik.

“Banyak gambar yang digunakan jadi pembaca tidak akan cepat bosan apabila membaca akhbar ini,” katanya.

Shahrol Nasir, 23, berkata dia berharap akan ada lebih banyak berita yang ringkas dan padat dapat dimuatkan dalam akhbar yang diterbitkan bersama Sunday Star.

“Berita yang dipaparkan di mStar Online dan Mingguan mStar perlu seimbang dan telus,” katanya yang bekerja sebagai akauntan.

Dalam pada itu, Pegawai Eksekutif bahagian Promosi dan Jualan The Star, Nur Afzan Abd Aziz berkata, beberapa program turut disusun sebagai rangka memperkenalkan akhbar bahasa Melayu sulung kumpulan The Star ini.

“Program untuk mempromosikan Mingguan mStar akan berlangsung selama tiga bulan bermula hari ini hingga 16 Mei depan.

“Setiap minggu kita akan berada di lokasi-lokasi yang menjadi tumpuan orang ramai untuk kita edarkan akhbar Mingguan mStar.

“Langkah ini bagi mempromosikan kepada orang-ramai mengenai kewujudan akhbar ini. Setakat ini maklum balas yang kita terima amat positif dan ada juga pengujung yang telah melanggan secara tetap untuk tempoh tiga bulan.

“Istimewanya kepada mereka yang melanggan sepanjang tempoh promosi mereka akan mendapat kad ‘Touch and Go’edisi mStar secara percuma,” katanya.

Selain mendapat akhbar Mingguan mStar secara percuma pengunjung juga berpeluang untuk menyertai peraduan cabutan bertuah di gerai yang disediakan.

Edisi pertama akhbar Mingguan mStar membawa laporan khas bertaraf eksklusif dunia dengan tajuk,'Wajah Hambali Dari Guantanamo'.

Akhbar yang mengandungi 40 muka surat itu telah dicetak sebanyak 170,000 naskah menjadi sisipan dalam akhbar berbahasa Inggeris Sunday Star hanya boleh didapati di beberapa kawasan sekitar Kuala Lumpur, Petaling Jaya, Shah Alam dan Putrajaya buat permulaan.

Khamis lalu, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan melancarkan akhbar Mingguan mStar di sebuah hotel terkemuka di ibu negara.

iklan

Video

Isnin, 20 November 2017 7:37 PM

Pakatan Dalam Misteri - Tun M

Isnin, 20 November 2017 2:30 PM

Karier Tak Rosak - Fezrul khan

Isnin, 20 November 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nabila Razali Simpan Foto Aedy Ashraf?

Ahad, 19 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Cikgu Meera - Oh Sayangku

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Jumaat, 17 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Hyper Act - Kasih

Khamis, 16 November 2017 2:00 PM

“Kalaulah Diberi Watak Utama...” - Riz Amin

Khamis, 16 November 2017 9:05 AM

Tak Tipu! Rawang Bypass Memang Gayat

Khamis, 16 November 2017 9:00 AM

Sufi Tak Mampu Tolak Haqiem Rusli

Kolumnis

iklan

Iklan