Kemalangan Semasa Ulang-Alik Kerja Meningkat: NIOSH

Diterbitkan: Isnin, 1 Mac 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUCHING: Sikap buruk rakyat Malaysia ketika memandu bukan hanya berlaku semasa musim cuti dan perayaan tetapi juga ketika dalam perjalanan ulang-alik ke tempat kerja.

Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), Tan Sri Lee Lam Thye berkata, pada tahun lepas sebanyak 34,394 kes sedemikian dilaporkan berlaku berbanding hanya 18,187 pada 2008, dan kebanyakannya melibatkan penunggang dan pembonceng motosikal.

"Kes kemalangan industri menurun secara drastik daripada 35,947 kes pada 2008 kepada 20,814 kes tahun lepas berikutan peningkatan kesedaran keselamatan, tetapi kemalangan semasa pergi dan balik kerja semakin membimbangkan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan seminar sehari berkenaan pencegahan dan laporan siasatan kemalangan, di sini hari ini.

Lee berkata, kemalangan semasa ulang-alik ke tempat kerja telah didefinisikan sebagai kemalangan yang berlaku ketika pekerja dalam perjalanan ke tempat kerja dan pulang ke rumah selepas tamat waktu bekerja.

"Antara faktor yang dikenalpasti sebagai sumber peningkatan kes kemalangan kategori itu adalah kesilapan manusia seperti tidak menumpukan perhatian kepada aspek keselamatan semasa menunggang atau memandu atau keadaan jalan raya," katanya.

Bagi menangani masalah itu, Lee berkata, NIOSH dan para majikan merancang untuk mengadakan kursus kemahiran pemanduan secara berhemah bagi golongan pekerja.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Kesihatan dan Keselamatan Pekerjaan Sarawak, Dasuki Mohd Heak berkata, pihaknya sedang mencari jalan untuk meningkatkan kesedaran pada kalangan pengusaha Industri Kecil dan Sederhana negeri dan industri pembalakan bagi mengurangkan risiko kemalangan industri.

Beliau berkata, walaupun ada petunjuk bahawa majikan di negeri itu sudah mempunyai kesedaran untuk melindungi dan mendidik pekerja mereka berkenaan risiko kemalangan, masih ada beberapa bidang yang perlu diperbaiki.

Katanya, sepanjang tahun lepas sejumlah 344 kes kemalangan industri dilaporkan di Sarawak dan kebanyakannya berlaku dalam sektor pembinaan dan perkilangan.

Beliau turut memberi amaran kepada majikan agar tidak menyembunyikan kes kemalangan industri kerana ia suatu kesalahan, dan sehingga kini sebanyak 11 kes telah dibawa ke mahkamah sementara 20 lagi dalam proses siasatan. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan