Persatuan Pandu Puteri Perlu Kaji Semula Peranan - Rosmah

Diterbitkan: Ahad, 28 Februari 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor yang juga Yang Dipertua Persatuan Pandu Puteri Malaysia meminta pergerakan itu mengkaji semula peranannya supaya seiring dengan keperluan semasa.

Beliau berkata usaha itu penting bagi memastikan kewujudan persatuan itu terus relevan dan memberi impak terhadap masyarakat.

"Persatuan Pandu Puteri seharusnya keluar daripada aktiviti-aktiviti yang hanya berkisar khusus untuk anggota semata-mata.

"Sebaliknya persatuan perlulah merangka peranan dan tanggungjawab, bagi memastikan ia terus popular, relevan, segar dan disegani sebagai sebuah persatuan yang menyumbang kepada kebajikan dan kesejahteraan rakyat secara amnya," katanya ketika melancarkan Hari Peringatan Sedunia Persatuan Pandu Puteri Malaysia di sini, hari ini.

Rosmah berkata persatuan itu harus melaksanakan proses penjenamaan semula dan berfikir di luar batasan terutama dalam mencari jalan untuk membantu remaja wanita negara ini membangunkan potensi mereka sepenuhnya.

Merujuk tema Hari Peringatan Sedunia Pandu Puteri tahun ini iaitu "Bersama Kita Membasmi Kemiskinan dan Kelaparan", Rosmah berkata pendidikan merupakan teras utama serta pelaburan terpenting bagi membantu seseorang individu itu keluar daripada kitaran kemiskinan.

Beliau mencadangkan agar persatuan menganjurkan program berbentuk pendidikan untuk anggota-anggota seperti kelas tambahan, program 'mentor-mentee' dan kursus motivasi.

"Melalui program sedemikian, anggota-anggota yang telah berjaya boleh menghulurkan bantuan dalam bidang pembelajaran kepada anggota lain yang memerlukan tunjuk ajar dan bimbingan.

"Usaha ini akan dapat membantu persatuan dalam memacu hala tuju mereka supaya dapat bersama-sama mendukung matlamat persatuan dalam melahirkan anggota berwibawa dan berjaya," katanya.

Rosmah turut menyarankan Persatuan Pandu Puteri supaya terus menjalankan program penambahan anggota daripada pelbagai kaum termasuk dari luar bandar bagi memantapkan lagi persatuan.

"Saya tidak mahu Persatuan Pandu Puteri Malaysia hanya dipelopori oleh satu-satu kaum sahaja tetapi perlulah dizahirkan menerusi penyertaan anggota berbilang bangsa seiring matlamat gagasan 1Malaysia," katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta persatuan itu turun padang dan mendekatkan diri dengan masyarakat di samping memberi penerangan mengenai kepentingan kewujudan persatuan itu dan program kepanduan yang dijalankan.

Penubuhan Persatuan Pandu Puteri Malaysia di Kuala Lumpur pada 1916 dengan moto "Selalu Sedia" adalah berdasarkan Pergerakan Pengakap yang diasaskan oleh seorang tentera British Lord Robert Stephenson Smyth Baden-Powell pada awal 1900. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan