Perjalanan Menjejaki Keluarga Hambali

Diterbitkan: Ahad, 28 Februari 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Kad, surat dan gambar yang dikirimkan Hambali kepada keluarganya.
Kad, surat dan gambar yang dikirimkan Hambali kepada keluarganya.

CIANJUR (Jawa Barat): Meneroka ke satu daerah yang tidak sama sekali anda kenali apatah lagi untuk menjejaki keluarga suspek pengganas yang paling dikehendaki dari rangkaian al-Qaeda, sememangnya menggerunkan.

Tetapi itulah misi utama saya. Takut atau tidak, ia perlu dilakukan sebaik sahaja adik kepada Hambali, tahanan di Teluk Guantanamo, Cuba memberikan lampu hijau kepada saya untuk bertemu dengannya di Pulau Jawa, Indonesia.

Hambali, sebagaimana yang ketahui dunia adalah salah seorang pelaksana rancangan Osama bin Laden dan rangkaian al-Qaeda yang juga pemimpin Jemaah Islamiah (JI) di Asia Tenggara. Dia adalah warga Indonesia tetapi memperisterikan rakyat Malaysia.

Sebaik sahaja hubungan dibuat, saya meninggalkan Kuala Lumpur menuju ke Jakarta pada 2 Februari dan setibanya di Bandar Udara Soekarno-Hatta, saya terus menghubungi individu yang akan membawa saya ke satu kawasan pedalaman sejauh 150 kilometer (km) dari Jakarta.

Keesokan harinya, saya menerima Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) memaklumkan bahawa semuanya telah diatur untuk saya meneruskan perjalanan ke Jawa Barat bertemu dengan ahli keluarga Hambali.

Selepas bertemu dengan orang tengah saya ke sana di hadapan Ibu Pejabat Polis Nasional Indonesia pada jam 4 petang, kami pun meneruskan perjalanan ke Cianjur.

Kesesakan jalan raya ibu kota Indonesia bukan lagi satu fenomena lumrah tetapi boleh disifatkan mencapai tahap ‘legenda’.

Pergerakannya teramat perlahan dan membosankan. Hanya selepas meredah keperitan selama lebih dua jam barulah kami boleh menarik nafas lega apabila kenderaan yang membawa kami memasuki lebuh raya.

Hujan mula membasahi bumi dan kami sebenarnya melawan masa untuk sampai ke destinasi di Cianjur. Hari semakin gelap dan temujanji yang telah diaturkan ialah pada pukul 8 malam.

Kami belum pun sampai separuh perjalanan apabila tiba-tiba bunyi SMS daripada adik Hambali memecah keheningan malam. Dia bertanyakan waktu ketibaan kami. Dan jam di tangan menunjukkan pukul 7.30 malam apabila mesej kedua masuk. Orang tengah kami hanya sekadar mampu menjawab: “InsyaAllah tiba pukul 8.30 malam.”

Hujan yang mengiringi sepanjang perjalanan nampaknya enggan pergi meninggalkan kami dan tiba-tiba sahaja saya menyedari yang kenderaan kami kini sedang mendaki cerun bukit yang curam.

Dan apabila saya bertanyakan orang tengah saya di manakah kami berada sekarang, dia berkata kenderaan ini terpaksa melepasi bukit itu terlebih dahulu kerana Cianjur berada di sebalik bukit.

Jalan yang menyusuri bukit itu sangatlah sempit dan bengkang-bengkok. Lebih memburukkan lagi keadaan, jalan sempit itu tidak mempunyai lampu jalan. Sungguh menakutkan.

Dalam situasi ini, setiap minit yang berlalu, amat menggelisahkan. Jam sudah pun menunjukkan pukul 10 malam - dua jam melepasi waktu yang dijanjikan. Dan dalam kegelisahan itu pelbagai pertanyaan menusuk perasaan saya. “Kenapa aku mesti pergi ke kampung halaman Hambali?

Apa yang akan berlaku jika ini satu perangkap oleh adik Hambali untuk membalas dendam ke atas segala artikel yang aku tulis mengenai kegiatan abangnya? Bolehkah aku keluar dengan selamat dari Cianjur?”

Semua persoalan ini tiba-tiba menerjah masuk ke benak pemikiran saya dan biarlah saya beritahu di sini bahawa tidak ada satu pun artikel atau berita yang saya tulis tentang Hambali yang baik-baik belaka. Dia digambarkan sebagai seorang pengganas yang paling berbahaya.

Jika itu masih tidak mencukupi, saya seperti mendengar suara isteri, kawan-kawan dan teman baik yang menyifatkan tugasan saya ini sebagai satu kerja yang bodoh atau gila untuk pergi ‘menyerah diri’ ke kawasan seperti ini.

(Tetapi untuk rekod, ini bukanlah tugasan ‘berbahaya’ saya yang pertama. Sebelum ini saya telah meletakkan diri saya dalam tiga situasi yang sama dengan menemuramah tiga suspek penjara di dalam penjara - dua daripadanya di Jakarta dan satu lagi di Filipina).

Sedang fikiran saya melayang dengan pelbagai persoalan yang merimaskan dan mengelisahkan, saya dikejutkan dengan suara yang berkata: “Kita sudah sampai Pak!” Kenderaan yang membawa kami melintasi sebuah pekan kecil melewati satu lorong yang sempit dan sejurus sebelum kenderaan kami berhenti secara tiba-tiba, saya perasan kelibat seorang jejaka yang sedang berdiri di tepi sebuah motosikal dengan sepuntung rokok yang sedang menyala di bibirnya.

Melihat kelibat kenderaan kami, lelaki itu lantas membaling puntung rokok yang masih belum habis itu ke tepi. Kami diperkenalkan, Dialah Kankan - adik kepada Hambali.

Hanya apabila saya memikirkan yang wawancara kami akhirnya akan bermula, saya dimaklumkan bahawa temuramah itu akan dilakukan dengan kehadiran peguam di madrasah berdekatan.

Saya merasa sedikit khuatir kerana ini bermakna akan ada lebih ramai orang semasa temuramah itu dilangsungkan. Bagaimanapun saya setuju sahaja dan kami pun dipandu ke madrasah berkenaan dengan Kankan berada di hadapan menunggang motosikalnya.

Beberapa minit kemudian, kami pun tiba di tempat yang dituju yang terletak di sebuah persimpangan. Di hadapan persimpangan itu tertulis perkataan yang tidak membenarkan orang yang tiada urusan untuk melepasi.

Tanda larangan itu turut merisaukan saya apatah lagi sebaik sahaja pintu pagar dibuka kelihatan beberapa lelaki yang memakai selendang sedang mengawal kawasan berkenaan.

Sebaik sahaja kami merapati kawasan berkenaan, saya diperkenalkan kepada seorang lagi lelaki bernama Ecep Hernawan, yang merupakan pemimpin sebuah gerakan yang dinamakan Gerakan Reformis Islam.

Tanggapan pertama bagi mereka yang melihat pemuda berbadan sasa ini ialah dia mungkin seorang yang “menakutkan” tetapi selepas beberapa minit kemudian saya mendapati, dia seorang yang mudah didekati.

Ecep bertanya apa tujuan saya datang sejauh itu. Dan saya berkata tujuan kedatangan saya adalah untuk mendengar cerita dari mulut keluarga Hambali sendiri. Malah saya memberitahunya yang selama ini, cerita yang saya tulis tentang Hambali adalah tentang dirinya sebagai seorang pengganas.

Cara dia merenung saya seolah-olah dia mahu menelan saya tetapi sebaik sahaja dia bangun berdiri dan beredar dari saya, dia lantas berkata, dia gembira kerana saya sudi mendengar dari sudut pandang keluarga Hambali. Dan dia kembali ke arah saya dengan membawa minuman untuk kami semua.

Maka temuramah yang sekian lama tertangguh itu pun bermula dan kedua-dua Ecep dan Kankan bercakap dengan panjang lebar mengenai Hambali dan selepas saya merakamkan gambar Kankan dan juga surat-surat yang dikirimkan Hambali dari Teluk Guantanamo, saya memutuskan yang saya telah mempunyai cukup bahan untuk tugasan ini.

Nota Kaki: Saya ingin merakamkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada Ecep dan Kankan kerana membenarkan saya menemuramah mereka yang memakan masa lebih daripada yang sepatutnya.

Sebaik sahaja saya kembali ke Jakarta, saya dapati, telefon bimbit saya menunjukkan begitu banyak panggilan yang tidak berjawab - kebanyakkannya daripada ahli keluarga saya yang ingin mengetahui sama ada saya selamat atau tidak.

Saya menelefon mereka memaklumkan semuanya selamat dan saya juga menghantar mesej kepada bos saya menyatakan misi dan tugasan saya berjaya disempurnakan tanpa sebarang kejadian yang tidak diingini. Keesokan harinya saya segera kembali ke Kuala Lumpur.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan