Hanya 30 Hari Proses Sijil Halal Jakim

Diterbitkan: Ahad, 28 Februari 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Proses permohonan bagi mendapatkan sijil halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) hanya mengambil masa kurang daripada 30 hari untuk diluluskan sekiranya semua dokumen sokongan lengkap disertakan oleh pengusaha syarikat di negara ini, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Dr Mashitah Ibrahim.

"Kalau pihak penguasaha memberikan dokumen yang lengkap maka prosesnya pasti tidak melebihi daripada 30 hari daripada tarikh syarikat itu mendaftar,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Anugerah 1Malaysia 1 Halal di perkarangan Masjid Negara di sini semalam.

Beliau berkata demikian ketika mengulas dakwaan sesetengah pihak yang mendakwa proses hendak mendapatkan sijil halal daripada Jakim memakan masa yang lama melebihi tempoh 30 hari.

Baru-baru ini, laporan sebuah akhbar tempatan yang melaporkan hanya dua buah kopitiam yang beroperasi di negara ini mendapat pengesahan sijil dan logo daripada Jakim.

Sebaliknya para pengusaha lain didapati menggunakan sijil dan logo halal yang dikeluarkan oleh pihak swasta yang tidak mendapat pengiktirafan jabatan tersebut.

Mengulas lanjut, Mashitah menegaskan bahawa kelewatan sebenarnya berpunca daripada maklumat yang tidak lengkap diberikan oleh syarikat itu sendiri.

"Oleh itu, saya berharap selepas ini penguasaha syarikat tidak boleh lagi memberi alasan proses untuk mendapatkan sijil halal daripada Jakim memakan masa yang lama," katanya.

Menurutnya, proses untuk mendapatkan sijil halal pada hari ini cukup mudah kerana semuanya dilakukan secara dalam talian oleh pihak Jakim.

"Selepas mereka membuat pembayaran maka pengusaha syarikat akan mendapat sijil halal tersebut berdasarkan terma dan syarikat yang kita tetapkan,” katanya.

Kempen 1Malaysia 1Halal yang berlangsung selama tiga hari bermula 26 Februari lalu akan berakhir esok beberapa aktiviti telah disusun.

Antaranya ialah pertandingan menulis esei halal di kalangan pelajar Institut Pengajian Tinggi Awam dan Swasta (IPTA/IPTS), usahawan halal, pelancongan Islam, penerbitan artikel dan rencana halal dan restoran halal terbaik.

Tempoh pertandingan itu berlangsung selama enam bulan bermula hari ini.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan