Hambali Seorang Yang Lemah Lembut - Adik

Diterbitkan: Ahad, 28 Februari 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Kankan menunjukkan gambar abangnya yang kini ditahan di Kem Guantanamo ketika ditemui oleh wartawan Mingguan mStar.
Kankan menunjukkan gambar abangnya yang kini ditahan di Kem Guantanamo ketika ditemui oleh wartawan Mingguan mStar.

CIANJUR (Jawa Barat): Ahli keluarga Hambali@Encep Nurjaman@Riduan Isamuddin - suspek yang didakwa melaksanakan arahan Osama bin Laden untuk melancarkan serangan bom di Bali pada 2002 dan juga Pusat Dagangan Dunia New York pada 11 September 2001 - menyifatkannya sebagai seorang yang lemah lembut.

Kankan Abdul Qadir, 31, adik bongsu Hambali berkata, dia dan seluruh ahli keluarga mereka tidak dapat menerima hakikat bahawa abangnya dikaitkan dengan jenayah keganasan sebagaimana yang dilaporkan kerana Hambali yang dilahirkan pada tahun 1966 itu tidak pernah melibatkan diri atau terbabit dengan apa-apa aktiviti haram mahupun jenayah sewaktu di Indonesia.

Katanya, Hambali yang meninggalkan Indonesia untuk mengajar agama di Malaysia pada 1984 hanya pernah kembali semula sekali pada tahun 1998 untuk memperkenalkan isterinya, seorang rakyat Malaysia dari Sabah kepada ahli keluarga (Hambali telah melangsungkan perkahwinan dengan seorang keturunan Cina dari Sabah yang menukar namanya kepada Noralwizah Lee Abdullah sebaik sahaja memeluk Islam. Mereka berkahwin pada tahun 1985).

Kankan menyifatkan abangnya sebagai seorang yang cerdik, berpelajaran dan lemah lembut malah pernah berkhidmat sebagai guru sebelum berhijrah ke Malaysia.

“Saya tidak pasti apa pekerjaan yang Hambali lakukan ketika di Malaysia melainkan dimaklumkan oleh ahli keluarga yang lain bahawa dia mengajar di sekolah agama yang dia sendiri dirikan di Sungai Manggis, Selangor.

“Malah selepas 1998 iaitu tahun terakhir Hambali pulang ke Cianjur, kami tidak mendapat khabar berita daripadanya lagi.

Jadi saudara boleh bayangkan apabila kami dimaklumkan bahawa dia dikehendaki polis pada tahun 2000, kami sekeluarga terkejut,” ceritanya dalam satu temuramah eksklusif dengan Mingguan mStar di sini baru-baru ini.

Dalam pertemuan yang berlangsung selama 90 minit itu dan dijalankan di sebuah madrasah sambil disaksikan seorang peguam, adik Hambali turut menceritakan apabila bapa mereka meninggal dunia pada tahun 2001, ahli keluarganya tidak dapat menghubungi Hambali kerana mereka tidak tahu di mana dia berada dan hanya menyedari tentang kedudukannya apabila dia ditangkap di Thailand pada Ogos 2003.

Apabila ditanya bagaimanakah persepsi masyarakat sekeliling terhadap Hambali selepas penangkapannya dan dakwaan yang mengaitkannya dengan pengeboman Bali dan keganasan, Kankan berkata, hampir keseluruhan mereka yang mengenalinya enggan mempercayai semua dakwaan itu.

“Sukar untuk mereka menerimanya kerana mereka mengenalinya sebagai seorang yang tidak pernah terlibat dengan apa-apa kegiatan yang menyalahi undang-undang,” ujar Kankan lagi.

Malah kata Kankan, keluarga mereka hanya menyedari yang Hambali sudahpun dihantar ke Kem Tahanan Teluk Guantanamo di Cuba apabila beberapa wakil daripada Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa datang ke kampung mereka pada 2006 untuk memaklumkan tentang perkembangan terbaru Hambali, tahap kesihatannya dan kenapa dia ditahan di Guantanamo.

“Sejak itu satu-satunya perhubungan kami dengan Hambali ialah menerusi warkah-warkah serta foto yang dihantar oleh Hambali dari Guantanamo,” katanya sambil menunjukkan gambar terbaru Hambali serta surat-suratnya.

Surat-surat Hambali yang ditulis tangan dalam tiga bahasa iaitu Indonesia, Inggeris dan Sunda iaitu dialek tempatan kelihatan ditapis terlebih dahulu oleh pihak tentera Amerika Syarikat (AS) menggunakan kertas yang tertera logo Palang Merah Antarabangsa dengan pen berdakwat merah.

Hambali menandatangani surat itu menggunakan nama asalnya Encep Nurjaman@Hambali.

Kankan memberitahu, sejak tahun 2006, Hambali mengutus surat tanpa gagal kepada ahli keluarganya termasuk mengirimkan kad ucapan menjelang hari raya.

“Kami juga cuba melobi kerajaan Indonesia untuk mengatur perjalanan kami ke AS jika Hambali dibicarakan di negara itu tetapi sehingga sekarang usaha itu tidak menampakkan sebarang hasil. Sebab itulah kami mengharapkan Hambali dibicarakan di Indonesia,” katanya.

Dia juga menegaskan, satu-satunya cara untuk seluruh ahli keluarga, saudara-mara dan juga para sahabatnya di kampung halaman serta seluruh dunia mengetahui sama ada Hambali bersalah, atau seorang pengganas yang melancarkan pengeboman di AS dan Bali ialah melalui perbicaraan secara adil di mahkamah terbuka.

Mereka mahu supaya dia dibicarakan seberapa segera yang mungkin.

Kankan meminta pihak yang menahan abangnya di Teluk Guantanamo sekarang membicarakan abangnya itu sama ada di AS atau bawa dia kembali ke Indonesia untuk menghadapi tuduhan merancang pengeboman Bali.

“Sama ada di Amerika mahupun Indonesia, kedua-dua tempat kami tiada halangan asalkan abang kami menerima keadilan undang-undang.

Sekarang kami tidak tahu apakah kebenarannya kerana apa yang kami dengar dan baca hanyalah dakwaan pembabitannya dengan rangkaian Al-Qaeda dan orang seperti Osama Bin Laden,” ujar Kankan.

iklan

Video

Isnin, 18 Disember 2017 2:45 PM

Kecoh Naim Daniel 'Berduet' Dengan Hantu

Ahad, 17 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: InTeam - Kasih Kekasih

Jumaat, 15 Disember 2017 2:27 PM

Biarlah Ia Berlalu" - Adi Putra

Jumaat, 15 Disember 2017 11:51 AM

Aksi 'Rempit' Fasha Sandha Jadi Perhatian

Jumaat, 15 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Pesawat - Luluh

Khamis, 14 Disember 2017 1:00 PM

Peminat Lega Tiada Suara 'Kepit' Sajat

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Kolumnis

iklan

Iklan