400 Mualaf Raikan Sambutan Tahun Baru Cina Bersama Keluarga

Diterbitkan: Ahad, 28 Februari 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Walaupun sudah memeluk Islam, namun ia tidak menghalang sekumpulan mualaf untuk sama-sama meraikan sambutan Tahun Baru Cina bersama keluarga di sini hari ini.

Untuk memeriahkan lagi sambutan itu, Restoran Cina Muslim Mohd Chan Abdullah di Taman Melawati di sini menganjurkan majlis rumah terbuka Tahun Baru Cina bersama-sama 400 tetamu yang terdiri daripada mualaf dari kaum Tionghua.

Apa yang menarik ialah mualaf itu turut ditemani anggota keluarga bukan Islam untuk sama-sama meraikan sambutan.

Selain dimeriahkan dengan pertunjukan Tarian Naga, mereka juga menjamu selera dengan menikmati hidangan tradisi Cina seperti Sotong Kungpoh, Nasi Ayam Claypot dan Ayam Masak Masam Manis.

Menurut pemilik restoran Mohd Chan Abdullah, 60, sambutan rumah terbuka yang diadakannya pada setiap tahun itu mengubah persepsi keluarganya terhadap beliau selepas memeluk Islam kira-kira empat tahun lepas.

"Walaupun saya sudah memeluk agama Islam, itu bukan bermakna ikatan kekeluargaan antara kami terputus," katanya.

Selain Chan, isterinya Amina Lee, 56, dan seorang anaknya Md Nik Chan Mohd Chan, 27, turut memeluk Islam.

Sementara itu Pengerusi Persatuan Cina Muslim Malaysia (Macma) cawangan Selangor, Danial Hakim Boey, 47, berkata beliau bersyukur kerana memiliki sebuah keluarga yang memahami cara kehidupannya yang baru malah masih mengajaknya untuk meraikan sambutan Tahun Baru Cina bersama-sama setiap tahun.

"Setiap tahun, kami akan tetap berkumpul pada malam Tahun Baru Cina untuk makan besar bersama keluarga yang lain, tiada yang berubah. Alhamdulilah, mereka nampaknya faham dan menghormati agama baru saya dan mereka sensitif berkaitan makanan ataupun upacara sembahyang," katanya yang turut gembira dengan kehadiran ibunya Chung Chee Cheng, 72, yang beragama Buddha. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan