Tiada Rombakan Barisan Exco Di Perak - Zambry

Diterbitkan: Sabtu, 27 Februari 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

TAIPING: Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir hari ini berkata tiada sebarang rombakan barisan Anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) akan dilakukannya dalam waktu terdekat memandangkan exco berkenaan memegang portfolio masing-masing dalam tempoh yang agak singkat.

Sebaliknya, beliau berkata barisan Exco sedia ada akan diberi satu tempoh masa yang bersesuaian untuk membuktikan keberkesanan masing-masing dalam melaksanakan tanggungjawab yang telah diamanahkan ke atas mereka dengan sebaik-baiknya.

"Ada satu jangka masa yang saya berikan kepada mereka dan selepas itu baru saya akan buat penilaian. Buat masa ini saya tidak membuat penilaian mutlak tetapi mereka terus dipantau dalam melaksanakan tugas-tugas mereka berdasarkan kepada KPI (Petunjuk Prestasi Utama) yang telah pun ditetapkan kepada mereka," katanya kepada pemberita selepas Majlis Mesra 1Malaysia di Kampung Boyan di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas sama ada akan melakukan rombakan barisan exconya seperti mana yang akan dilakukan oleh Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak dan Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan.

Dr Zambry berkata mungkin ada di kalangan exco sedia ada menunjukkan prestasi yang kurang memberangsangkan namun beliau percaya barisan exconya mampu melakukan penambahbaikan prestasi masing-masing dari semasa ke semasa.

Katanya beliau juga masih belum mempunyai perancangan untuk menambah bilangan exco daripada enam orang ketika ini kepada 10 orang yang menjadi kebiasaan bagi kerajaan negeri sebelum ini.

Beliau juga menepis dakwaan pihak tertentu bahawa portfolio yang dipegang oleh barisan exco ketika ini merupakan satu beban buat mereka dan sebaliknya menegaskan bahawa ia bergantung kepada sejauh mana berkesannya seseorang exco itu menguruskan portfolio masing-masing.

Dr Zambry pula adalah Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Ekonomi, Kewangan, Tanah, Hasil Bumi dan Sumber Asli, Keselamatan dan Pembangunan Luar Bandar.

Barisan exco Perak ketika ini adalah Datuk Hamidah Osman yang juga Exco Kanan, sebagai Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan, Pembangunan Usahawan, Pelancongan dan Hal Ehwal Wanita; Datuk Ramly Zahari (Pengerusi Jawatankuasa Insfrastruktur, Kemudahan Awam, Tenaga dan Air); Datuk Dr Mah Hang Soon (Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kerajaan Tempatan, Hal Ehwal Pengguna, Alam Sekitar, Pengangkutan dan Hal Ehwal Bukan Islam).

Datuk Saarani Mohamad (Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Luar Bandar, Pembasmian Kemiskinan, Perladangan dan Kebajikan); Mohammad Zahir Abdul Khalid (Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, ICT, Sumber Manusia, Sains dan Teknologi) dan Zainol Fadzi Paharudin (Pengerusi Jawatankuasa Kesenian, Belia dan Sukan).

Kesemua exco mengangkat sumpah di depan Sultan Perak Sultan Azlan Shah di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar pada 10 Februari 2009. - BERNAMA

iklan

Video

Ahad, 17 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: InTeam - Kasih Kekasih

Jumaat, 15 Disember 2017 2:27 PM

Biarlah Ia Berlalu" - Adi Putra

Jumaat, 15 Disember 2017 11:51 AM

Aksi 'Rempit' Fasha Sandha Jadi Perhatian

Jumaat, 15 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Pesawat - Luluh

Khamis, 14 Disember 2017 1:00 PM

Peminat Lega Tiada Suara 'Kepit' Sajat

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Kolumnis

iklan

Iklan