Tengku Razaleigh Berhak Suarakan Pandangan Mengenai Wang Ihsan - Mustapa

Diterbitkan: Sabtu, 27 Februari 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

BACHOK: Semua pemimpin dan anggota Umno termasuk Anggota Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah boleh menyuarakan pandangan berhubung isu tuntutan royalti minyak di Kelantan asalkan tidak menjejaskan parti.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata justeru setiap pandangan yang diutara harus berasaskan 'semangat kekeluargaan' kerana kerajaan pada hakikatnya bersikap terbuka.

"Kerajaan bersikap terbuka dalam menerima pandangan mereka tetapi pandangan itu perlu disuarakan dengan cara yang bijak tanpa mewujudkan sebarang polemik politik yang boleh mengelirukan rakyat," katanya.

Mustapa yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Satu Program Universiti Malaysia Kelantan, Satu Daerah 2010 di Sekolah Menengah Teknik Bachok, di sini hari ini.

Tengku Razaleigh mencetuskan polemik apabila menyertai ceramah penerangan mengenai tuntutan royalti minyak anjuran badan bukan kerajaan (NGO) di Stadium Sultan Mohamed Ke-IV di sini pada 28 Januari lalu.

Antara lain Tengku Razaleigh yang juga bekas Pengerusi Petronas berkata Kelantan berhak menerima royalti minyak sedangkan Kerajaan Pusat menegaskan sebaliknya.

Dalam menyelesaikan isu itu, Mustapa berkata beliau sendiri telah mengadakan pertemuan dengan Tengku Razaleigh baru-baru ini, disusuli pula pertemuan antara pemimpin veteran itu dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Mengulas lanjut, Mustapa berkata berbeza pendapat dalam parti bukan perkara baru tetapi sebaiknya anggota Umno tidak menggunakan saluran media atau ceramah umum untuk menyatakan pandangan mereka kerana boleh memberi implikasi kurang elok kepada parti.

Mengulas kenyataan Tengku Razaleigh di Gua Musang semalam yang antara lain menyatakan beliau masih setia dengan Umno, Mustapa berkata Umno Kelantan menyambut baik pendirian tersebut.

"Kita sangat mengalu-alukan kenyataan Ku Li (Tengku Razaleigh) itu dan ia merupakan perkembangan yang sangat positif kepada parti," katanya.

Mustapa berkata Umno sebenarnya sangat menghargai jasa dan peranan Tengku Razaleigh dalam memperkasakan Umno dan berharap veteran Umno itu akan terus bersama parti yang merupakan tunjang bangsa Melayu itu.

Sementara itu pada satu majlis di Machang malam tadi, Mustapa berjanji wang ihsan yang bakal diterima Kelantan itu akan disalurkan secara telus bagi membantu rakyat Kelantan.

"Saya sendiri akan pastikan tidak berlaku sebarang penyelewengan bagi memastikan ia disampaikan terus kepada rakyat Kelantan yang berhak.

"Pelantikan (Timbalan Menteri Kewangan) Datuk Dr Awang Adek (Hussin) sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pengagihan Wang Ihsan beserta dengan kerajaan negeri bagi memastikan pemberiannya tidak dipolitikkan." katanya.

Mustapa berkata walau apa sahaja nama yang diberikan Kerajaan Pusat, pemberian wang sebanyak RM20 juta itu bakal memberi manfaat kepada rakyat Kelantan. - BERNAMA

iklan

Video

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Jumaat, 15 September 2017 2:00 PM

Cassidy Malu Cakap Melayu?

Jumaat, 15 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Payslip - Semangat Yang Hilang

Khamis, 14 September 2017 4:00 PM

Farida Jalal Mahu Lebih Kolaborasi Malaysia-Bollywood

Khamis, 14 September 2017 9:00 AM

Faye Kusairi Menangis Tonton Diri Sendiri

Kolumnis

iklan

Iklan