Arahan Penggunaan Kotak Ikan Berinsulasi Bermula Isnin - Noh Omar

Diterbitkan: Sabtu, 27 Februari 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LANGAT: Arahan penggunaan Kotak Ikan Berinsulasi Bergred Makanan (KIBFG) secara berperingkat akan tetap bermula Isnin ini sekalipun ada segelintir pengimport ikan mengugut untuk menghentikan operasi membawa masuk ikan ke negara ini.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar yang kesal dengan tindakan kumpulan terbabit berkata pihak berkenaan sudah diberi peluang untuk menyuarakan rasa tidak puas hati mereka semasa sesi dialog dengan beliau pada Khamis lepas.

"Individu terbabit pun ada sama pada dialog itu. Bila dia timbulkan masalah maka kita dah setuju untuk buat beberapa keputusan dan semua orang puas hati, tetapi kenapa hari ini dia buat kenyataan bercanggah dengan apa yang dipersetujui, apa masalahnya," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas kenyataan anggota jawatankuasa Persatuan Import dan Eksport Malaysia, Tan Chee Meng dalam sebuah akhbar hari ini yang antara lain berkata sekumpulan pengimport ikan dari Johor, Selangor, Kedah dan Perak tidak berpuas hati dengan arahan itu.

Kumpulan itu juga dilaporkan mengugut untuk menghentikan import ikan ke negara ini apabila arahan dikuatkuasa bermula 1 Mac ini.

Noh berkata bagi membantu meringankan beban pengimport membeli KIBFG yang agak mahal, kerajaan juga telah bersetuju memperuntukkan RM2.4 juta sebagai subsidi termasuk pengurangan caj ikan import sebanyak dua sen sekilogram.

"Harga subsidi ini diberikan bagi pembelian 60,000 kotak KIBFG iaitu 20,000 kotak KIBFG seberat 100 kilogram dan sebanyak 40,000 untuk kotak KIBFG seberat 50 kilogram.

"Bagi KIBFG seberat 100 kilogram, harganya ialah RM205 seunit dan subsidi diberikan kerajaan ialah RM60 seunit menjadikan harga selepas subsidi cuma RM145, manakala harga KIBFG seberat 50 kilogram pula yang pada asalnya RM125 seunit jadi RM95 selepas subsidi," katanya.

Kerajaan katanya telah cuba meringankan beban pengimport dan pada masa yang sama golongan itu juga harus menyokong hasrat kerajaan yang mahu memastikan rakyat mendapat bekalan ikan segar selain mengelakkan penyeludupan.

Mengenai masalah berhubung tong ikan plastik sedia ada selepas penggunaan KIBFG dikuatkuasakan, Noh berkata kerajaan telah memberi beberapa cadangan seperti menjualkannya kepada pengimport ikan dari Thailand dan Indonesia atau menjualkannya kepada nelayan tempatan.

"Kerajaan pun ada maklumkan selepas bulan Jun jika mereka nak beli KIBFG daripada pembekal lain selain empat pembekal yang dilantik Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) kita benarkan tetapi mereka masih kena gunakan cip yang kita sediakan.

"Kenapa mereka takut nak guna cip kita? Apa helah mereka? Takut kita boleh kesan sebarang kegiatan yang tidak sepatutnya?" katanya.

Noh seterusnya menegaskan pengimport ikan tidak akan dibenar membawa masuk ikan ke negara ini sekiranya mereka tetap ingkar daripada mematuhi arahan itu apabila penggunaan KIBFG dikuatkuasakan sepenuhnya pada November ini.

"Negara-negara seperti Thailand dan Singapura dah guna KIBFG dan Indonesia pun bawa masuk ikan ke Malaysia guna kotak ikan berinsulasi tetapi tiada gred makanan, cuma hanya Malaysia yang guna cip.

"Apa pun saya akan panggil individu ini bagi mendapat penjelasan sebenar dan menerangkan semula arahan itu kepadanya dalam masa terdekat. Janganlah kelirukan rakyat dengan isu ini," katanya. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan