Wang Ihsan Akan Diberi Kepada Yang Mahu Terima - PM

Diterbitkan: Jumaat, 26 Februari 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Kerajaan Pusat tetap mahu memberikan wang ihsan kepada Kelantan kerana yakin ada rakyatnya yang mahu menerima pemberian berkenaan.

"Kerajaan Pusat akan bagi dan kita akan bagi kepada siapa yang akan terima, siapa yang tidak terima terpulang kepada dia, tentu ada orang yang nak terima," katanya.

Bercakap kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Umno di sini Khamis, Najib yang juga Presiden Umno berkata kerajaan akan memastikan bantuan itu dibuat secara telus kepada golongan yang layak menerimanya.

"Bantuan kepada rakyat Kelantan tetap akan diberikan dan kita akan bagi kepada siapa yang hendak menerimanya.

"Kita nak bagi kepada rakyat... pokoknya kita mahu rakyat mendapat manfaat (daripada pemberian wang ihsan)," katanya ketika ditanya mengenai implikasi politik berhubung pemberian wang ihsan itu kepada rakyat Kelantan.

Perdana Menteri berkata Kerajaan Pusat akan tetap dengan pendiriannya berhubung pemberian wang ihsan dan bukannya royalti minyak seperti yang didakwa kerajaan Kelantan pimpinan PAS "Kita punya pendirian jelas dan apa yang diputuskan ikut Perlembagaan dan undang-undang negara dan mengikut pakar-pakar perundangan tiada apa-apa yang dikemukakan (oleh Kelantan) bagi membolehkan kita rasa keputusan kerajaan itu tidak betul," katanya.

Najib berkata dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9), Kerajaan Pusat telah memperuntukkan lebih RM7 bilion kepada Kelantan untuk perbelanjaan pembangunan walaupun negeri itu berada di bawah pemerintahan pembangkang.

Perdana Menteri berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan Ketua Umno Bahagian Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah yang terus mempersoalkan langkah kerajaan Persekutuan berhubung isu royalti minyak Kelantan.

Terbaru, Tengku Razaleigh dipetik sebagai berkata iklan penjelasan tuntutan wang royalti yang disiarkan kerajaan Persekutuan menerusi akhbar-akhbar bahasa Malaysia baru-baru ini menimbulkan lebih banyak implikasi negatif dan kekeliruan berbanding penjelasan.

Ditanya mengenai pertemuan dengan anggota Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah, Najib berkata perkara itu sudah lama dan tidak perlu diulas.

Mengenai sama ada Umno akan mengambil tindakan terhadap Tengku Razaleigh, Najib berkata MT Umno akan mendengar pendapat anggota parti terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan

Najib berkata mesyuarat MT membincangkan perkembangan semasa parti termasuk tumpuan terhadap jentera parti dan Program Juara Rakyat yang akan diteruskan di Perak dan negeri-negeri lain.

Mesyuarat juga mengambil maklum bahawa setakat 31 Januari lalu, keahlian Umno ialah sebanyak 3,526,952 orang dan parti masih dalam proses mengemas kini keahlian.

"Kita harap semua bahagian menjalankan aktiviti seperti diarahkan dan mengambil tindakan untuk menambah ahli serta mengemas kini daftar keahlian. Kita harap kerancakan aktiviti oleh sayap parti juga berterusan," katanya.

Ditanya mengenai cadangan pindaan Perlembagaan Barisan Nasional (BN), Najib berkata perkara itu hanya dimaklumkan pada mesyuarat itu tetapi akan hanya dibincangkan pada mesyuarat Dewan Tertinggi BN. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan