Penahanan Kapal Pukat Tunda Malaysia Di Perairan Filipina Tidak Gugat Hubungan Dua Negara

Diterbitkan: Jumaat, 26 Februari 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SANDAKAN: Hubungan dua hala antara Malaysia dan Filipina tidak tergugat dengan insiden penahanan 14 kapal pukat tunda dari negara ini oleh pihak berkuasa Filipina baru-baru ini kerana menceroboh masuk ke perairan negara jiran itu.

Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman berkata hubungan antara kedua-dua negara akan diperbaiki bagi meningkatkan kerjasama itu terutama dalam menangani sesuatu perkara.

"Insiden penangkapan kapal pukat tunda Malaysia bersama 50 kru yang menceroboh perairan negara Filipina tidak akan merosakkan hubungan baik antara kedua-dua negara.

"Kita akan terus mempertingkatkan hubungan dengan negara jiran itu dan akan memberi perhatian kepada masalah yang dialami oleh nelayan tempatan di sini," katanya dalam ucapan pada majlis dialog dengan anggota Persatuan Perikanan Sandakan, di sini semalam.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Setiausaha Politiknya Datuk Norhaidi Che Dan.

Pada 14 dan 15 Februari lepas, 14 kapal pukat tunda bersama 50 kru ditahan oleh pihak berkuasa Filipina di Kepulauan Selatan Taganak kerana menceroboh perairan negara itu.

Kesemua kapal pukat tunda itu telah dibebaskan secara berperingkat-peringkat.

Anifah berkata kerajaan juga akan mencari jalan untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi nelayan di kawasan itu yang dikatakan punca mereka menceroboh perairan negara jiran.

"Proses mendapatkan lesen dalam tempoh masa yang panjang menyebabkan nelayan tidak mempunyai lesen untuk menangkap ikan di kawasan perairan negara.

"Alasan terbabit mendorong nelayan tempatan menangkap ikan di kawasan perairan sempadan sehingga menyebabkan mereka ditangkap oleh pihak berkuasa di sana," kata Anifah.

Majlis hari ini bertujuan mendengar masalah yang dihadapi golongan nelayan di sini selain mencari kaedah untuk menyelesaikannya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan