Kanak-Kanak Tidak Terdedah Kepada Perpaduan Bakal Hadapi Kepincangan - Raja Muda Perlis

Diterbitkan: Jumaat, 26 Februari 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KANGAR: Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail semalam bertitah akan kebimbangan kanak-kanak yang tidak terdedah dengan kepentingan perpaduan akan menjadi masyarakat yang pincang ketika mereka dewasa.

Baginda bertitah pemikiran mereka perlu dikembang dan disuburkan dengan kegiatan-kegiatan yang menjurus kepada perpaduan, sejajar dengan hasrat negara dan juga matlamat gagasan 1Malaysia.

Bertitah pada majlis penyampaian biasiswa Smart Reader Worldwide kepada Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) di Arau semalam, baginda menekankan peri pentingnya semangat perpaduan disemai ketika kanak-kanak baru mengenal huruf.

Turut berangkat pada majlis itu ialah Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajjah Lailatul Shahreen Akashah, Raja Puan Muda Perlis.

Baginda bertitah sejak kebelakangan ini banyak pihak mula bimbang tentang perpaduan kian rapuh dan meletakkan harapan yang tinggi terhadap gagasan 1Malaysia.

Sehubungan itu, titah baginda antara langkah berkesan untuk mewujudkan masyarakat yang bersatu padu ialah melalui penyemaian benih perpaduan pada kalangan kanak-kanak.

Mereka tidak boleh diasingkan sehingga akhirnya menjadi taksub kepada satu kaum atau satu fahaman sahaja, titah Tuanku Syed Faizuddin Putra yang juga Pengerusi YTSP.

Mungkin ada di antara mereka yang tidak boleh menerima kehadiran kaum lain di sisi mereka kerana terlalu taksub kepada kaum sendiri, titah baginda.

Justeru, titah baginda benih perpaduan perlu disemai mulai sekarang kerana mereka menjadi sandaran negara untuk memastikan pembentukan bangsa Malaysia yang bersatu padu.

Pada majlis itu, YTSP menerima biasiswa berjumlah RM67,120 daripada Smart Reader Worldwide yang disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Smart Reader Worldwide, Dr Richard Ong. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan