Jualan Produk Kraftangan Cecah 1.3 Juta, Kata Rais

Diterbitkan: Jumaat, 26 Februari 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Jualan pelbagai produk kraftangan Malaysia di Festival Kraf di sini mencecah angka yang menggalakkan iaitu RM1.3 juta sehingga semalam, kata Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim.

Beliau berkata ini menunjukkan kewujudan satu trend baru iaitu permintaan untuk artifak kraf di Malaysia telah meningkat.

"Kami mengunjurkan dalam tempoh lebih kurang dua minggu, penjualan akan terus meningkat dan ini akan menjadi cerminan kepada kejayaan industri kraf di Malaysia," katanya kepada pemberita selepas mengiringi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak melawat festival tersebut di Kompleks Kraf Kuala Lumpur di sini semalam.

Menurut Rais antara tarikan pengunjung ke festival yang bermula Rabu lepas, adalah tekstil berkaitan batik, ukiran kayu, seramik dan hasil rimba.

Bersesuaian dengan tema festival iaitu Kraf Inovatif dan Kreatif, Rais berkata pada kali ini, terdapat banyak hiasan baru yang menggunakan 'computer added development' (cad) dan beliau yakin lebih banyak ciptaan baru yang bermutu tinggi akan muncul pada masa akan datang.

Rais juga berkata sambutan daripada kedutaan asing di negara ini amat menggalakkan dan beliau dimaklumkan hampir semua kedutaan telah menghantar wakil untuk menilai produk-produk yang dipamerkan.

"Kedutaan-kedutaan luar datang... dan mereka telah memberi komitmen untuk datang dan membeli-belah, termasuk membeli artifak yang ada dalam simpanan galeri Kraftangan Malaysia," katanya.

Ditanya mengenai pandangan Perdana Menteri dalam lawatan tersebut, kata Rais: "Perdana Menteri berkata kali ini jumlah pameran adalah lebih dan seni ukiran kayu juga menarik perhatian beliau selain bahan-bahan daripada seramik.

"Malah beliau sendiri banyak juga membeli barang-barang untuk perhiasan Seri Perdana dan koleksi beliau sendiri," kata Rais.

Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai kenyataan beliau semalam berhubung perkahwinan campur, Rais berkata trend perkahwinan campur boleh dikategorikan sebagai 'kurang berjaya' apabila dilihat kepada kecenderungan kes-kes penceraian yang berlaku.

Beliau berkata mereka yang memeluk agama Islam dan berkahwin campur perlu melalui beberapa latihan sosial dan sebagainya untuk mengelakkan konflik dalam kehidupan.

"Kita juga menggalakkan kahwin campur tapi oleh kerana sorotan balik kepada kebudayaan, agama dan cara hidup sekeliling, maka kebanyakan perkahwinan ini tidak berjaya.

"Tapi itu bukan bererti habis sudah jalan untuk mencapai kebaikan untuk mereka. Mereka perlu mencuba mencari jalan untuk memperbaiki kehidupan," katanya.

Menteri itu semalam menasihatkan golongan muda termasuk kalangan artis supaya berfikir 'beribu kali' sebelum memasuki gerbang perkahwinan campur berdasarkan kadar kejayaan perkahwinan seumpamanya yang rendah.

Mengenai kematian bekas Pengarah Penyiaran Pahang dan bekas penyampai berita Radio Televisyen Malaysia Datuk Hashim Embi yang meninggal dunia pagi semalam, Rais berkata pemergian beliau bukan saja satu kehilangan kepada dunia penyiaran tetapi juga kehilangan seorang yang sangat berbakat.

Menurut Rais, Allahyarham Hashim mempunyai penguasaan komunikasi yang berkesan dan kementerian sangat menghargai sumbangan serta bakat beliau sebagai seorang juruhebah.

"Kami dari kementerian menyampaikan doa supaya Allah memberi cucuran rahmat setinggi-tingginya kepada roh Allahyarham dan semoga khidmat cemerlang beliau dapat dicontohi oleh warga lain khususnya dalam bidang penyiaran," katanya.

Hashim, 66 tahun, meninggal dunia akibat barah tulang di rumah anaknya di Manjung, Perak. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan