Bridget Lai Bakal Lepas Jawatan Di Alliance Bank

Diterbitkan: Jumaat, 26 Februari 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Alliance Bank Berhad Datuk Bridget Lai telah membuat keputusan untuk meletakkan jawatan berkuat kuasa 1 April ini, sekali gus menyelesaikan pertikaian yang berlaku antara beliau dengan bank tersebut.

Dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan semalam, kedua-dua pihak memberitahu, satu jalan penyelesaian secara persahabatan telah dicapai.

"Kedua-dua pihak berpendapat pertikaian itu seharusnya diselesaikan demi kepentingan bank dan para pemegang saham," katanya.

Mereka menambah Lai telah membuat keputusan tersebut susulan perbezaan pendapat antara beliau dan Lembaga Pengarah bank itu.

"Ini adalah keputusan bersama oleh pihak bank serta Lai, dan peletakan jawatan itu bukan keputusan Lai semata-mata. Pihak bank ingin merakamkan penghargaan kepada Lai atas sumbangan perkhidmatannya," menurut kenyataan itu.

Bagaimanapun, kenyataan itu tidak menyebut tentang hasil siasatan dalaman bank itu berhubung isu-isu operasi perniagaan.

Sebelum ini, Lembaga Pengarah bank menyoal siasat Lai dan Ketua Pegawai Operasi bank, Shim Kon Teck dalam satu siasatan dalaman yang dimulakan ekoran kerja-kerja pengubahsuaian pada Jabatan Harta bank itu.

Siasatan berkenaan bermula pada Oktober tahun lalu dengan bantuan juruaudit luaran bebas.

Lembaga Pengarah dan Lai masing-masing tidak mendedahkan maklumat tentang siasatan tersebut.

Pengerusi bank, Datuk Thomas Lee enggan memberikan komen apabila dihubungi StarBiz.

Spekulasi sebelum ini telah bertiup kencang bahawa Lai tidak ingin meneruskan perkhidmatannya sebagai CEO bank selepas siasatan itu berakhir walaupun kontraknya disambung semula pada Ogos tahun lalu.

Kontrak Lai adalah selama dua tahun.

Lai ketika dihubungi mengenai rancangan masa depannya berkata: "Terlalu awal untuk memberitahu apa-apa. Saya berharap dapat pergi bercuti."

Seorang penganalisis dengan pusat penyelidikan luar negara yang ditaja bank tempatan berkata langkah tersebut adalah terbaik kerana pertikaian itu tidak berpanjangan.

"Sekarang bank boleh bebas daripada masalah itu dan terus memajukan perniagaan," kata penganalisis tersebut.

Sementara itu, penganalisis dari sebuah syarikat broker saham berkata dia tidak terkejut dengan berita peletakan jawatan Lai.

"Apa yang kita perlu lihat ialah apa yang bakal berlaku pada masa depan. Siapa yang akan menggantikan Lai? Ini amat penting kerana bank perlu mendapatkan orang lain untuk meneruskan usaha-usahanya.

"Adalah baik untuk mencari seorang CEO yang berpengalaman dalam perbankan pelaburan kerana Lai telah mengukuhkan perbankan konsumer. Momentum pertumbuhan dijangka berterusan," katanya.

iklan

Video

Ahad, 17 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: InTeam - Kasih Kekasih

Jumaat, 15 Disember 2017 2:27 PM

Biarlah Ia Berlalu" - Adi Putra

Jumaat, 15 Disember 2017 11:51 AM

Aksi 'Rempit' Fasha Sandha Jadi Perhatian

Jumaat, 15 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Pesawat - Luluh

Khamis, 14 Disember 2017 1:00 PM

Peminat Lega Tiada Suara 'Kepit' Sajat

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Kolumnis

iklan

Iklan