NUBE Adakan Kempen Kutip 1 Juta Tandatangan - Berita Semasa | mStar

NUBE Adakan Kempen Kutip 1 Juta Tandatangan

Diterbitkan: Rabu, 24 Februari 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Bank (NUBE) akan melancarkan satu kempen mengutip sejuta tandatangan bagi menyokong cadangan agar pekerja wanita di negara ini diberikan cuti bersalin lebih lama.

Kempen yang akan bermula pada 8 Mac bersempena dengan Hari Wanita Antarabangsa, kata Setiausaha Agung NUBE J. Solomon hari ini.

Kempen itu bertujuan mendesak kerajaan meminda Akta Pekerjaan 1955 bagi menambah bilangan hari cuti bersalin daripada 60 hari sekarang ini kepada 90 hari, selaras dengan amalan di negara-negara anggota Asean yang lain, katanya kepada Bernama.

Solomon berkata NUBE akan menganjurkan beberapa program semasa kempen itu bagi meningkatkan kesedaran dengan menjemput ahli kesatuan sekerja, wakil Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO), pertubuhan wanita, pakar perubatan, ahli akademik, jabatan dan agensi kerajaan berkaitan dan media, sepanjang kempen bagi mendapatkan tandatangan itu dapat dicapai.

NUBE percaya pertambahan hari kelayakan cuti bersalin "akan menjadi satu hadiah bermakna kepada kira-kira 5.1 pekerja wanita daripada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak." - BERNAMA

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan