Pelajar Maut Selepas Jatuh Motosikal Dinaiki Bersama Tiga Rakan - Berita Semasa | mStar

Pelajar Maut Selepas Jatuh Motosikal Dinaiki Bersama Tiga Rakan

Diterbitkan: Selasa, 23 Februari 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KOTA TINGGI: Akibat tidak mengendahkan peraturan jalan raya, seorang pelajar tingkatan tiga maut selepas terjatuh daripada sebuah motosikal yang ditunggang bersama tiga rakan lain dalam satu kejadian di sini petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Supt Osman Mohamed Sebot berkata Muhammad Amirul Asyraf Mohamed Fadzli, 15, meninggal dunia di Hospital Kota Tinggi dua jam selepas terjatuh daripada motosikal itu akibat kecederaan dalaman.

Tiga rakannya yang juga berusia 15 tahun iaitu Mohd Hazrul Shafiq Mohd Hanapiah, Muhammad Norfaiz Azli dan Amirul Nazmi Azman hanya mengalami cedera ringan, katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata kejadian berlaku pukul 3 petang ketika keempat-empat pelajar itu menunggang motosikal tersebut di sekitar Taman Kota Jaya di sini.

Bagaimanapun motosikal yang ditunggang mereka hilang kawalan selepas terlanggar bonggol jalan menyebabkan keempat-empat mereka terjatuh, katanya.

Beliau meminta orang ramai yang menyaksikan kejadian agar tampil memberi maklumat di balai berdekatan atau menghubungi polis di talian 07-2212999.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - BERNAMA

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan