Cadangan Hanya Seorang Pemandu Bagi Sebuah Bas Ekspres Dikaji - Berita Semasa | mStar

Cadangan Hanya Seorang Pemandu Bagi Sebuah Bas Ekspres Dikaji

Diterbitkan: Selasa, 23 Februari 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KAJANG: Majlis Negara bagi Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan akan mengkaji cadangan daripada pengusaha bas agar setiap bas ekspres hanya dikendali oleh seorang pemandu berbanding dua sekarang bagi memastikan pemanduan yang lebih baik.

Timbalan Menteri Sumber Manusia yang juga pengerusi majlis itu, Senator Datuk Maznah Mazlan berkata cadangan itu juga perlu dirujuk kepada agensi dan pihak berkepentingan yang lain sebelum keputusan dibuat.

"Mengikut pandangan syarikat, keupayaan dan kecekapan pemandu akan lebih baik jika hanya seorang pemandu berbanding dua pemandu, kerana jika dua pemandu, kedua-duanya pun sebenarnya tidak cukup rehat," katanya kepada pemberita selepas membuat lawatan kerja di Badanbas Sdn Bhd di sini hari ini.

Beliau berkata peraturan sekarang mensyaratkan dua pemandu mesti berada di dalam sebuah bas pada setiap masa sepanjang perjalanan bagi memastikan pemandu mendapat rehat yang cukup sekali gus menjamin keselamatan penumpang.

Namun sistem itu dilihat tidak mencapai matlamatnya memandangkan pemandu yang berkenaan tidak menggunakan peluang tersebut untuk berehat, selain turut menyebabkan seorang pemandu terpaksa bertugas melebihi 16 jam sehari, katanya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan