Setiap Pelajar Wajib Sertai satu Jenis Sukan Mulai Tahun Depan - Muhyiddin

Diterbitkan: Isnin, 22 Februari 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

BANDAR JENGKA: Semua pelajar sekolah rendah dan menengah akan diwajibkan menyertai satu jenis sukan mulai tahun depan, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata sebuah jawatankuasa sementara juga akan ditubuhkan bagi mengkaji untuk memberikan kredit kepada pelajar yang menyertai sukan.

Kajian untuk memberikan kredit atau markah kepada pelajar yang terbabit sukan adalah bagi mengubah persepsi ibu bapa yang sebelum ini melihat aktiviti sukan tidak memberi makna, sebaliknya lebih menekankan pencapaian akademik anak-anak mereka, katanya.

"Efektif tahun depan, tahun ini kita akan buat apa yang patut dahulu, sebab pihak sekolah perlu menyusun kembali jadual sedia ada," katanya kepada pemberita selepas merasmikan penutupan Konvensyen Umno Pahang di sini, hari ini.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran menjelaskan sebenarnya penyertaan pelajar dalam sukan telah diwajibkan dalam kokurikulum sebelum ini cuma tidak diberikan penekanan.

"Kita mahu terapkan nilai sukan di sekolah, dan mengembalikan sekolah sebagai institusi utama untuk melahirkan bakat-bakat sukan di peringkat akar umbi".

Beliau berkata kajian juga akan dilakukan bagi membolehkan aktiviti sukan di sekolah dijalankan sepanjang tahun bagi menyemarakkan budaya bersukan dan tidak hanya bertumpu pada tiga bulan pertama sesi persekolahan sepertimana sekarang.

Semalam, Muhyiddin berkata Jawatankuasa Kabinet Mengenai Sukan telah menggariskan lima unsur penting untuk mengembalikan kegemilangan sekolah dalam menghasilkan bakat-bakat sukan.

Turut hadir isteri beliau, Puan Sri Noraini Ab Rahman dan Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan