NGO Hantar Memorandum Minta Tahanan ISA Dibenar Jumpa Keluarga, Peguam

Diterbitkan: Isnin, 22 Februari 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) dan Suara Rakyat Malaysia (Suaram) hari ini meminta polis membenarkan tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) berjumpa dengan ahli keluarga dan peguam mereka.

Permintaan itu terkandung dalam satu memorandum yang diserahkan kepada Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan yang diterima oleh Pegawai Perhubungan Awam Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman, Cif Inspektor Mohd Zaki Abu Bakar.

Pengerusi GMI, Syed Ibrahim Syed Noh yang mengetuai kira-kira 10 wakil GMI dan Suaram yang menyerahkan memorandum itu berkata, pihaknya mahukan tahanan ISA diberikan ruang untuk mendapat bantuan guaman.

Syed Ibrahim berkata, ada di antara tahanan ISA termasuk warga asing tidak diberikan kebenaran untuk bertemu keluarga masing-masing atau diberikan hak untuk mendapatkan bantuan guaman walaupun sudah ditahan selama 31 hari.

Seorang peguam, Syahredzan Johan berkata, satu permohonan habeas corpus telah difailkan di Mahkamah Kuala Lumpur untuk berjumpa dengan tahanan dan permohonan itu dijadualkan didengar pada 10 Mac ini.

"Permohonan itu dibuat kerana apa yang kami maklum, ada rancangan untuk menghantar pulang tahanan warga asing ke negara asal mereka sedangkan hak mereka untuk bertemu dengan peguam belum lagi diberikan."

"Ini termasuk untuk kami pastikan supaya keadaan tahanan termasuk kesihatan dan kebajikan (makan dan minum) mereka," katanya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan