Kerajaan Pusat Serasi Dengan Sarawak

Diterbitkan: Isnin, 22 Februari 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SARATOK: Persefahaman tinggi di antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri Sarawak selama ini berjaya melicinkan lagi usaha pembangunan di negeri ini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata, persefahaman itu membolehkan Kerajaan Pusat memberikan tumpuan kepada isu-isu pembangunan yang dihadapi rakyat di negeri ini.

Berucap merasmikan Projek Elektrik Luar Bandar di Rumah Panjang Juliana Bedus di sini, Perdana Menteri berkata, tumpuan usaha pembangunan ini tidak berlaku di beberapa buah negeri di Semenanjung Malaysia.

"Di Semenanjung, ada negeri-negeri yang tidak sehaluan dengan Kerajaan Pusat telah menjadi kucar-kacir, tak dapat mengurus keluarga masing-masing dan bergaduh sesama sendiri," katanya.

Najib sedang dalam rangka lawatan dua hari ke Sarawak.

Katanya, rakyat Sarawak akan terus mendapat manfaat, termasuk mendapat peruntukan besar untuk pembangunan sektor luar bandar, hasil daripada kerjasama erat di antara Kerajaan Pusat dan negeri ini.

Perdana Menteri berkata, rakyat luar bandar di Sarawak akan dapat menyaksikan perubahan besar daripada segi pembangunan infrastruktur menerusi peruntukan RM3.4 bilion Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA( bagi sektor itu dalam tempoh tiga tahun sehingga 2012.

Najib turut memberi jaminan struktur masyarakat di Sarawak akan tetap dihormati dan diambilkira dalam setiap pembangunan yang dirancang kerajaan.

"Sarawak layak untuk mendapat segala kemudahan kerana keyakinan rakyatnya dan ini tanggungjawab kita (kerajaan) untuk menyediakan segala kemudahan ini," katanya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan