Mangsa Kebakaran Mungkin Jadi Kumpulan Pertama Terima Wang Ehsan

Diterbitkan: Ahad, 21 Februari 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

MACHANG: Seramai 20 mangsa kebakaran rumah kedai dua tingkat di Bandar Lama Pulai Chondong semalam mungkin menjadi kumpulan pertama yang akan menerima Wang Ihsan sumbangan kerajaan Persekutuan bulan depan.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata keputusan muktamad dan butir-butir lanjut mengenainya akan diketahui hanya selepas pihaknya mengadakan mesyuarat bulan depan.

"Kami akan bantu mereka yang terbabit untuk mengurangkan bebanan masing-masing, yang kehilangan tempat tinggal dan punca rezeki akibat kejadian itu," katanya kepada pemberita selepas melawat ke tempat kejadian petang ini.

Dalam kebakaran kira-kira pukul 8 malam itu 20 premis perniagaan termasuk dua rumah musnah dijilat api yang merebak dengan pantas memandangkan kebanyakan daripada premis kawasan itu diperbuat daripada kayu dan berusia lebih 60 tahun lepas.

Kerugian awal dianggar bernilai lebih RM1 juta.Pada lawatan itu Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri menyampaikan bantuan segera seperti beras, barang keperluan dapur dan wang tunai bagi meringankan beban mereka.

Katanya Umno Kelantan dengan kerjasama MCA akan membantu untuk membolehkan penduduk terbabit menjalani penghidupan baru dengan lebih selesa di bawah program bantuan jangka panjang. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan