Kerajaan Cadang Pasang CCTV Pantau Jualan Minyak Di Sempadan - Tan

Diterbitkan: Ahad, 21 Februari 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PENGKALAN HULU: Kerajaan bercadang memasang kamera litar tertutup (CCTV) di semua stesen minyak berhampiran sempadan bagi memantau penjualan minyak kepada kenderaan asing, kata Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Tan Lian Hoe.

Langkah itu bertujuan meningkatkan pemantauan kerana buat masa ini pemantauan hanya dilakukan pegawai penguatkuasa kementerian, katanya kepada pemberita selepas menghadiri sambutan Tahun Baru Cina di sini hari ini.

Larangan penjualan petrol dan diesel melebihi 20 liter kepada kenderaan asing di stesen minyak yang terletak dalam lingkungan 50 kilometer dari pintu sempadan negara berkuatkuasa 16 Dis lepas.

Mengenai bekalan gula, Tan berkata bekalan bahan itu adalah mencukupi dan kementerian tidak akan berkompromi dengan pemborong atau pembekal yang masih gagal menyediakan bekalan gula kepada pasar raya dan pekedai.

"Bahan itu mencukupi untuk kegunaan dalam negara...tidak ada sebab masalah kekurangan bekalan gula masih berlaku," katanya.

Beliau berkata tindakan tegas termasuk membatalkan lesen dan denda akan diambil terhadap pemborong yang didapati tidak membekalkan bahan itu. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan