Mangsa Gempa Bumi Di Padang Selamat Tiba Di Tanah Air

Diterbitkan: Sabtu, 20 Februari 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Noor Azizah Azmi menangis semasa sidang media mengenai kepulangan beliau dan tiga anaknya Muhammad Hazrul Naim, 5, Muhammad Hazrul Hakim (2) dan Aisyah Rahma Musfika, tiga bulan ke Malaysia di Pejabat Biro Aduan Umno di sini, semalam. Turut sama pada sidang media itu ialah Pengerusi Biro Aduan Komuniti Pemuda UMNO Datuk Muhammad Khairun Aseh. - fotoBERNAMA
Noor Azizah Azmi menangis semasa sidang media mengenai kepulangan beliau dan tiga anaknya Muhammad Hazrul Naim, 5, Muhammad Hazrul Hakim (2) dan Aisyah Rahma Musfika, tiga bulan ke Malaysia di Pejabat Biro Aduan Umno di sini, semalam. Turut sama pada sidang media itu ialah Pengerusi Biro Aduan Komuniti Pemuda UMNO Datuk Muhammad Khairun Aseh. - fotoBERNAMA

KUALA LUMPUR: Harapan seorang wanita bersama tiga orang anaknya untuk kembali ke Malaysia setelah terdampar di Pekan Baru, Riau, Indonesia akibat gempa bumi yang melanda Padang pada September 2009 tahun lalu akhirnya temakbul apabila berjaya dibawa pulang ke tanah air pagi tadi.

Noor Azizah Azmi, 27, selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM) pagi tadi, berjaya dibawa pulang oleh Biro Aduan Komuniti Pemuda UMNO dengan bantuan Konsulat Malaysia di Pekan Baru dan Persatuan Dubalang Amanah Kampar (DAMAK) setelah hampir lima bulan hidup melarat di sana.

Pengerusi Biro Aduan Komuniti Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Muhammad Khairun Aseh berkata, proses untuk membawa pulang mangsa mengambil masa sebulan setelah mendapat maklumat daripada DAMAK dan Konsulat Malaysia di sana.

"Alhamdulilah, sejak sebulan lalu, pihak kami secara konsisten cuba mengesan mangsa dan syukur semuanya telah selamat," katanya pada sidang media di pejabat biro di sini semalam.

Dalam sidang media yang sama, Azizah dipertemukan buat kali pertama dengan adik kandungnya Noor Fadzillah Azmi, 24, setelah dua tahun tidak bertemu dalam suasana hiba.

Azizah yang berasal dari Temerloh Pahang memberitahu beliau bersyukur kerana dapat kembali ke tanah air dan bersatu semula dengan adik kandungnya.

"Saya bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana memakbulkan doa saya untuk kembali ke pangkuan keluarga dan mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak Biro Aduan Komuniti UMNO dan Konsulat Malaysia di sana kerana membantu saya," katanya.

Azizah yang hadir bersama tiga anaknya Muhammad Hazrul Naim, 5, Muhammad Hazrul Hakim, 2 dan Aisyah Rahma Musfika, tiga bulan memberitahu, dia mengikuti suaminya, Sisi Raja Wangsa, seorang warga Indonesia ke Pariaman, Padang, dua tahun lalu kerana ingin mencuba membuka perniagaan di sana.

"sebelum ini saya bersama suami berniaga kecil-kecilan di Pelabuhan Klang tetapi kerana gagal mendapatkan pinjaman daripada bank untuk mengembangkan perniagaan, kami buat keputusan untuk berpindah ke Indonesia untuk memulakan hidup baru," katanya.

Dia yang sedang hamil lapan bulan ketika kejadian gempa bumi di Wilayah itu, ditemui oleh seorang sukarelawan bersama dua anaknya sehari selepas gempa manakala suaminya dikhuatiri terkorban dalam kejadian tersebut.

Dia kemudiannya dibawa ke Bangkinang sebelum penemuan tiga beranak itu dimaklumkan kepada Konsulat Malaysia di sini.

Bagaimanapun, urusan untuk membawa mereka pulang ke Malaysia menghadapi kesukaran apabila semua dokumen penting musnah ketika gempa melanda.

"Saya amat berharap dapat kembali ke Malaysia kerana telah hilang tempat bergantung. Apa yang menyedihkan sehingga kini jenazah arwah suami saya masih tidak ditemui," ujarnya.

Dalam pertemuaan itu, Azizah menceritakan pengalamannya semasa tinggal bersama Ketua Pimpinan Damak Boostami, H.K Datuk Duo Balang yang sudi membantunya serta anak-anak dirumahnya di Bangkinang.

"Selepas diselamatkan oleh pihak DAMAK, saya tinggal dengan Pak Datuk, dialah orang yang menjaga saya, melayan saya seperti keluarga sendiri sehingga semasa saya bersalin anak ketiga, keluarganya yang menolong saya.

"Saya berasa gembira tapi sedih pun ada juga sebab nak meninggalkan orang yang menjaga saya di Padang, gembira sebab saya dapat balik Malaysia untuk jumpa dengan adik saya," katanya.

Ditanya mengenai perancangan masa depannya, Azizah berharap dapat meneruskan perniagaan buah-buahan semula sekiranya diberi bantuan untuk memulakan perniagaan.

Sementara itu, Muhammad Khairun berkata, pihaknya akan cuba membantu Azizah supaya dia dapat meneruskan kehidupan dengan lebih baik bersama tiga anaknya dengan mendapatkan kemudahan dan bantuan dari kerajaan bagi membina semula kehidupannya..

"Perkara utama ialah dengan membantu Azizah menyelesaikan proses dokumentasi anaknya Aisyah yang kehilangan semua dokumen berkaitan dalam kejadian gempa itu," katanya.

Noor Fazilah pula berkata kakak dan anak-anak saudaranya akan tinggal bersamanya di Kampung Pandan, Kuantan, sehinggalah kakaknya itu mempunyai perancangannya sendiri.

"Saya gembira jumpa kakak dan menerima kakak saya untuk tinggal bersama kerana dulu, dialah yang selalu menjaga saya," katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan