Kegemilangan Sukan Sekolah Akan Dikembalikan - Muhyiddin

Diterbitkan: Sabtu, 20 Februari 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA:Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu kegemilangan sukan dikembalikan ke sekolah-sekolah memandangkan ia adalah institusi utama mengembangkan bakat sukan di peringkat akar umbi. "Sudah hampir 10 atau 20 tahun sukan di sekolah tidak diutamakan, apa sebabnya tidak diketahui. Sehinggakan di sekolah-sekolah, sukan bukan sesuatu yang dibanggakan berbanding zaman saya muda dulu. "Ketika itu, sukan suatu yang kita pandang sebagai acara yang menceriakan dan menyeronokkan. Saya telah buat keputusan untuk kembalikan semula kegemilangan sukan di sekolah kerana pembangunan sukan negara bermula di sekolah," katanya. Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyampaikan Anugerah SAM-100Plus 2009 anjuran Persatuan Penulis-penulis Sukan Malaysia (SAM) di sini, hari ini.

Sehubungan itu, Muhyiddin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Mengenai Sukan, menggariskan lima unsur penting untuk dilaksanakan bagi merealisasikan hasrat tersebut.

Antaranya, beliau telah mengarahkan Bahagian Seni, Sukan dan Ko-Kurikulum di Kementerian Pelajaran supaya dirombak dan meletakkan sukan berasingan daripada yang lain. "Kita akan wujudkan pegawai atau pengarah tertentu yang akan ditetapkan untuk menjaga pembangunan sukan di sekolah," katanya.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata kurikulum berhubung sukan juga perlu dikaji semula bagi menyesuaikan waktu ia dilaksanakan supaya tidak menjejaskan pembangunan akademik pelajar. "Apa yang ada sekarang ini, sukan ialah untuk beberapa bulan sahaja terutama dua tiga bulan pertama sesi persekolahan dan selepas itu tidak ada lagi. Adakalanya, ibu bapa sendiri pun tidak mengetahui bahawa sukan sekolah sudahpun dijalankan. Ini bukan caranya," katanya.

Selain itu, Muhyiddin berkata guru terlatih dalam bidang sukan juga akan diperbanyakkan serta pembangunan infrastruktur juga akan diberikan perhatian.

"Kita perlukan tenaga pelatih yang terlatih. Ini (guru terlatih) boleh dikatakan tidak banyak... ada guru biasa pun dilantik sebagai guru sukan," katanya.

Beliau berkata peruntukan Kementerian Pelajaran berjumlah RM89 juta untuk aktiviti sukan dan kokurikulum di sekolah-sekolah yang diumumkan pada 4 Feb lepas masih belum mencukupi untuk merealisasikan program yang dirancang.

"Jumlah itu mungkin kita akan tetapkan semula. Untuk RMK-10, saya sudah beritahu sebelum ini, kita akan perkukuhkan Bahagian Sukan dan kita tambah peruntukan untuk lima tahun akan datang. Jumlahnya belum kita tetapkan lagi, masih dalam peringkat perancangan," katanya.

Muhyiddin berkata usaha yang hendak dilaksanakan itu memerlukan masa untuk direalisasikan dan hasilnya tidak dapat dituai dalam masa terdekat.- BERNAMA

iklan

Video

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Selasa, 12 Disember 2017 5:41 PM

Jom Lepak Tempat 'Best' Tapi Percuma

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Isnin, 11 Disember 2017 9:00 AM

#BiziBody : De Fam Kantoi Gambar Selfie

Ahad, 10 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Aziz Harun - Jangan

Jumaat, 8 Disember 2017 8:15 PM

Malaysia Tak Diam Diri, Terus Bela Nasib Palestin

Jumaat, 8 Disember 2017 2:02 PM

Zarul Husin Takut Tua

Kolumnis

iklan

Iklan