Ketua Pemuda PBB Dicabar, Sulaiman Tak Pertahan Jawatan Naib

Diterbitkan: Jumaat, 19 Februari 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUCHING: Buat pertama kali dalam sejarahnya, jawatan Ketua Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak (PBB) akan menjadi rebutan pada perhimpunan agungnya Jumaat depan.

Penyandang Timbalan Menteri Sains Teknologi dan Inovasi Fadillah Yusof, akan ditentang Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Asajaya Abdul Karim Rahman Hamzah yang pernah menjadi timbalan Ketua Pemuda bagi penggal 2002-2004.

"Walaupun pada awalnya kesemua 71 ranting Pemuda PBB bersetuju untuk tidak mengadakan pertandingan dalam jawatan tertinggi pemuda, namun semalam (tarikh akhir pencalonan) kita menerima pencalonan untuk (Abdul Karim) bertanding jawatan Ketua Pemuda," kata Setiausaha Agung Pemuda PBB Gerald Rentap Jabu.

Bagaimanapun, katanya, keputusan muktamad berhubung pertandingan untuk jawatan-jawatan dalam pergerakan itu akan diputuskan pada mesyuarat Majlis Tertinggi PBB esok.

Rentap berkata bekas Timbalan Menteri Pelancongan, Datuk Seri Sulaiman Abdul Rahman Taib tidak akan mempertahankan jawatan Naib Ketua Pemuda PBB, sekaligus membuka ruang bagi pertandingan diadakan untuk jawatan naib ketua (kuota Bumiputera) selain pertandingan untuk dua lagi jawatan naib ketua (kuota Pesaka).

"Hanya jawatan Timbalan Ketua Pemuda yang tidak ada pertandingan dan ia kekal disandang oleh Daniel Jubang," katanya.

Rentap berkata bahawa pada mesyuarat kali ini Pemuda PBB akan membincangkan empat usul utama iaitu dalam bidang pendidikan, ekonomi dan pembangunan, sosial dan politik selain persediaan untuk menghadapi pilihan raya negeri akan datang.

Mesyuarat Pemuda PBB dan Wanita PBB akan diadakan serentak dari 26 hingga 28 Feb sebelum Perhimpunan Agung PBB ke-12 diadakan dari 2 Mac hingga 4 Mac. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan