Peraturan Kawal Industri Burung Walit Ke Kabinet Minggu Depan

Diterbitkan: Khamis, 18 Februari 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Selepas bertahun-tahun menunggu, Garis Panduan Industri Burung Walit atau 1GP akan dibentangkan ke Kabinet minggu depan.

Jika ia diguna pakai, Malaysia akan maju selangkah dalam industri itu berbanding negara pengeluar sarang burung walit lain seperti Indonesia dan Thailand.

"Ini kerana 1GP akan menjadi garis panduan industri burung walit yang pertama di dunia," kata Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Datuk Dr Abdul Aziz Jamaluddin kepada Bernama di sini.

Dengan kata lain, industri yang bermula dengan migrasi besar-besaran spesies burung itu dari Indonesia ke negara ini sejak 2000 yang kini bernilai RM1.5 bilion setahun itu akan mempunyai "piawaian" tersendiri.

1GP akan menjadi garis panduan untuk mengawal selia pembangunan industri itu secara holistik daripada aspek perlesenan, persampelan, pengeluaran hingga ke pengeksportan sarang burung walit ke pasaran luar khususnya China.

Abdul Aziz berkata, 1GP akan dibawa ke Kabinet selepas ia mendapat sokongan penuh daripada Kementerian Kesihatan selaku kementerian terakhir membuat ulasan mengenai garis panduan itu.

Sebelum ini, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Noh Omar berkata, 1GP akan dibentang ke Kabinet awal tahun ini selepas ia mendapat maklumat balas daripada kementerian terbabit seperti Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan Kementerian Kesihatan.

Sarang burung walit adalah antara sektor bukan makanan berimpak tinggi diberikan perhatian oleh kementerian terbabit selain ikan hiasan dan rumpai laut sebagai penyumbang kepada ekonomi negara.

Namun masalah perlesenan premis burung yang dibina di kawasan bandar terutamanya di lot-lot rumah kedai seperti di Pulau Pinang, Melaka dan Sarawak menimbulkan dilema dalam kalangan pemilik dan pedagang sarang burung.

Terdapat juga segelintir pihak khususnya penduduk kawasan sekitar yang khuatir risiko penyakit selain masalah bau dan bunyi dari premis burung yang "diubah suai" itu.

Pengerusi Persekutuan Persatuan Pedagang Sarang Burung Walit Malaysia, Datuk Beh Heng Seong berkata, pelaksanaan 1GP itu akan menjadi penyelesai kepada masalah itu, bermakna setiap pemilik premis wajib mengikuti syarat yang ditetapkan jika mereka mahu meneruskan perniagaan.

"Ia akan menjadi standard untuk semua PBT (pihak berkuasa tempatan)," kata Beh, merujuk kepada Amalan Baik Penternakan Haiwan (GAHP) Burung Walit Jabatan Perkhidmatan Veterinar yang digunakan sejak 2005.

GAHP yang mendapat standard MS2273(P) dari Jabatan Standard Malaysia awal bulan ini, yang merupakan antara komponen penting dalam 1GP, menetapkan kaedah tertentu untuk menangani masalah bau, bunyi dan penyakit.

Misalnya bagi menangani masalah bunyi, corong pembesar suara bertujuan memanggil spesies burung itu bersarang, perlu ditetapkan pada kedudukan darjah tertentu serta tidak melebihi 40 desibel.

Bagi mengatasi masalah bau dan penyakit, premis burung itu perlu dijaga dengan rapi dan dicuci secara berkala selain mengekalkan tahap kelembapan mengikut suhu tertentu bagi menyediakan persekitaran kondusif untuk spesies burung itu.

Kebanyakan negeri terbabit kini menunggu garis panduan itu diguna pakai, termasuk Sarawak yang mempunyai peruntukan undang-undang melarang burung itu diternak di kawasan bandar kecuali habitat asalnya dan kawasan tanah pertanian.

Di Pulau Pinang dan Melaka, isu itu melibatkan status "warisan" kawasan terbabit seperti diwartakan UNESCO kerana beberapa premis terlibat berada di kawasan zon warisan.

Misalnya, di Melaka, 17 premis burung walit terletak di kawasan zon warisan.

Sumber industri berkata, 1GP akan menjadi jalan tengah bagi pihak berkuasa, orang ramai dan pemilik rumah burung serta pedagang sarang burung, untuk menyelesaikan masalah itu secara holistik tanpa membantutkan pembangunan industri yang berkembang pesat itu.

1GP yang akan diguna pakai kelak memerlukan setiap premis burung didaftar dengan Jabatan Perkhidmatan Veterinar bagi tujuan kawal selia dan pemantauan manakala aspek perlesenan pula tertakluk kepada PBT.

Dianggarkan terdapat 50,000 premis burung walit di seluruh negara yang menghasilkan lebih 12 tan sarang burung dalam sebulan dengan harga sarang belum diproses mencecah RM4,000 sekilogram. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Produk Berkaitan

Iklan