Pemuda Ditugaskan Cungkil Idea Generasi Muda

Diterbitkan: Khamis, 18 Februari 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Pergerakan Pemuda Umno akan mengadakan perjumpaan dengan golongan muda untuk mendapatkan idea mengenai isu-isu semasa, serta harapan mereka terhadap dasar-dasar kerajaan.

Ketuanya, Khairy Jamaluddin berkata, pergerakan itu diminta berbuat demikian oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak agar idea dan harapan golongan muda dapat disampaikan dan seterusnya diambil tindakan oleh kerajaan.

"Zaman kerajaan tahu segala-galanya dah tamat. Jadi Pemuda Umno ditugaskan untuk mencungkil daripada generasi muda yang tidak semestinya ahli Pemuda, Umno atau Barisan Nasional (BN), apakah permintaan dan harapan mereka daripada kerajaan," katanya kepada pemberita selepas mengetuai Exco Pemuda Umno mengadakan kunjungan hormat terhadap Perdana Menteri, di sini hari ini.

Khairy berkata, pergerakan itu telah pun melaksanakan usaha tersebut di pelbagai peringkat sebelum ini namun tidak dilaksanakan dengan sistematik sepertimana yang dimahukan Perdana Menteri.

Beliau berkata, satu mesyuarat akan diadakan selepas ini bagi penubuhan sebuah jawatankuasa bagi memantau penubuhan makmal khas mengendali tugasan tersebut dan laporan pertama dijangka dikemukakan dalam masa tiga bulan.

Selain itu katanya, pergerakan itu juga akan melancarkan program Jelajah 1Malaysia Pemuda pada bulan depan bagi menerangkan konsep 1Malaysia kepada golongan pemuda di seluruh negara.

Ditanya sama ada kunjungan itu ada membincangkan mengenai spekulasi pergolakan dalam Pemuda Umno, Khairy berkata, isu tersebut tidak timbul, selain menegaskan ia merupakan perjumpaan biasa yang membincangkan mengenai halatuju pergerakan itu dalam membantu rakyat terutama generasi muda dan bukannya perjumpaan untuk menyelesaikan kemelut dalaman pergerakan.

"Dari segi politik Datuk Seri Najib berpuas hati dengan hala tuju Pemuda pada hari ini dan beliau tekankan bahawa perpaduan itu penting bukan sahaja dalam Pemuda tetapi di kalangan seluruh parti Umno dan BN," katanya.

Bagaimanapun katanya, perbezaan pendapat dan pandangan adalah perkara biasa memandangkan beliau menerajui parti politik yang mempunyai kira-kira 700,000 anggota, namun sebagai ketua, perbezaan pendapat harus diterima dan memperbaiki segala kelemahan. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan