Australia, Malaysia Rancang Kerjasama Industri Filem

Diterbitkan: Khamis, 18 Februari 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Australia dan Malaysia bercadang menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) khusus bagi memudahkan kolaborasi dan kerjasama dalam industri perfileman, yang antara lain berkaitan dengan produksi bersama filem, dokumentari dan filem-filem cereka.

Kaunselor Bahagian Politik dan Ekonomi Suruhanjaya Tinggi Australia di Malaysia, Arthur Spyrou berkata, kedua-dua negara secara prinsipnya bersetuju berbincang mengenai perkara itu, yang menurutnya akan berlangsung dalam beberapa bulan berikutnya.

Beliau berkata, perbincangan mengenainya akan diadakan dengan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) dan MoU itu bertujuan menggalakkan kolaborasi antara industri filem kedua negara, sekaligus mewujudkan kesempatan produksi bersama, di samping mengukuhkan hubungan kebudayaan antara rakyat kedua negara.

"Kami melihat ini sebagai satu kesempatan untuk mengukuhkan lagi kerjasama dalam bidang yang ikonik bagi kedua-dua negara. Saya tahu rakyat Malaysia dan Australia gemar ke pawagam dan ini jelas merupakan satu bidang yang sangat baik untuk memperluaskan lagi kerjasama," katanya kepada pemberita dalam satu persidangan akhbar bersama dengan Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Malaysia, Penny Williams untuk mempromosi Festival Film Australia 2010 (AFF 2010).

Spyrou berkata, Australia memiliki potensi untuk menggunakan kepakarannya bagi membantu industri filem Malaysia, terutama dalam melahirkan filem berbelanja kecil tapi memiliki nilai tinggi yang mengetengahkan bakat besar dalam industri itu.

"Inilah yang kami miliki sejak sekian lama, ia kepakaran kami kerana walaupun kami mempunyai beberapa bintang filem besar di Australia dan produser, pengarah serta pereka set ternama yang bekerja di luar negara, (tapi) jika dilihat kepada filem tempatan di Australia, anda dapati anggaran pembikinannya masih amat kecil berbanding dengan kebanyakan negara," katanya.

Beliau berkata, salah satu kekuatan dalam hubungan dua hala merujuk kepada keakraban hubungan antara rakyat dan ketika ini terdapat kira-kira 20,000 pelajar Malaysia belajar di Australia setiap tahun dan semakin ramai pelajar Australia memilih untuk melanjutkan pelajaran mereka di Malaysia.

Spyrou berkata, sudah ada inisiatif dari kalangan mereka yang terbabit dalam industri kreatif di kedua-dua negara untuk bekerjasama, dan menurutnya MoU itu akan mewujudkan satu rangka kerja untuk kolaborasi dalam industri filem.

Sementara itu bercakap kepada wartawan dalam persidangan akhbar yang diadakan di kediaman rasmi Pesuruhanjaya Tinggi Australia di sini Williams berkata, AFF 2010 yang akan berlangsung dari 4 hingga 7 Mac ini, kini kembali ke Malaysia selepas kali terakhir ia diadakan di sini pada tahun 2007, dan kali ini ia menampilkan tujuh filem cereka.

Katanya, ia menampilkan barisan filem yang membanjiri pawagam Australia ketika ini, daripada cereka berbentuk misteri dan unik khusus buat penonton dari pelbagai peringkat umur, daripada filem kanak-kanak klasik bertajuk 'Storm Boy' kepada filem thriller 'Lantana'.

Filem-filem lain adalah The Dish, Dirty Deeds, Romulus My Father, Radiance dan Magic Pudding.

"AFF 2010 menyediakan jendela kepada budaya popular Australia, sejarah dan isu-isu kontemporari," katanya semasa merujuk kepada AFF 2010 yang merupakan kolaborasi bersama antara Jabatan Hal Ehwal Luar Negara dan Perdagangan Australia, Majlis Kebudayaan Antarabangsa, dan pertubuhan Screen Australia.

Williams seterusnya berkata, 300 tiket akan diedarkan kepada lima sekolah kluster di Lembah Klang memandangkan mereka sedang berusaha untuk melibatkan anak-anak dan remaja dalam meningkatkan hubungan budaya antara kedua negara.

Bayaran masuk untuk festival AFF 2010 adalah percuma dan tiket-tiket boleh didapati di Golden Screen Cinemas (GSC) Pavillion Kuala Lumpur, dan ia diberikan berdasarkan kepada yang tiba awal didahulukan.

Jadual siaran dan sinopsis disediakan di laman web www.australia.org.my. - BERNAMA

iklan

Video

Isnin, 18 Disember 2017 2:45 PM

Kecoh Naim Daniel 'Berduet' Dengan Hantu

Ahad, 17 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: InTeam - Kasih Kekasih

Jumaat, 15 Disember 2017 2:27 PM

Biarlah Ia Berlalu" - Adi Putra

Jumaat, 15 Disember 2017 11:51 AM

Aksi 'Rempit' Fasha Sandha Jadi Perhatian

Jumaat, 15 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Pesawat - Luluh

Khamis, 14 Disember 2017 1:00 PM

Peminat Lega Tiada Suara 'Kepit' Sajat

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Kolumnis

iklan

Iklan