Lembaga Disiplin PKR Tak Tahu Zulkifli Ke Korea

Diterbitkan: Rabu, 17 Februari 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Parti Keadilan Rakyat (PKR) hari ini menyangkal dakwaan Zulkifli Noordin kononnya Lembaga Disiplin parti sengaja menetapkan tarikh perbicaraan tanpa kehadiran Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu itu.

Sebaliknya Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution menegaskan, tarikh itu dipilih kerana lembaga disiplin tidak tahu-menahu mengenai pemergian Zulkifli ke Korea.

Ahli Parlimen itu juga, jelas beliau, tidak memaklumkan kepada pihak lembaga berkaitan pemergian ke luar negara walaupun diberi tempoh selama lima hari selepas dimaklumkan menerusi surat berdaftar, e-mel dan faksimili kepadanya pada 8 Februari lalu.

"Di dalam surat menyatakan tempoh diberikan selama lima hari untuk Zulkifli memaklumkan sama ada boleh hadir atau pun tidak ke mesyuarat lembaga disiplin tersebut.

"Namun beliau memilih untuk menjawab menerusi sidang media semalam memaklumkan tidak boleh hadir kerana perlu menyertai forum kepimpinan di Korea atas tiket parti. "Pihak lembaga boleh menganjakkan tarikh perbicaraan tersebut," katanya kepada mStar Online di sini hari ini.

Semalam Zulkifli mendakwa wujudnya konspirasi dalam PKR untuk melihat beliau 'ditendang' keluar daripada parti itu.

Malah beliau begitu yakin terdapat agenda jahat yang dirancang terhadapnya apabila Lembaga Disiplin PKR menetapkan esok untuk perbicaraan kesnya.

Dalam pada itu, Saifuddin memberitahu, PKR tidak menghantar Zulkifli ke Korea seperti didakwanya, sebaliknya pemergiaannya atas tiket jemputan oleh pertubuhan di negara tersebut.

"Saya turut diundang untuk menghadiri persidangan tersebut, tapi lebih banyak perkara di sini yang perlu diuruskan," katanya.

Tambahnya, pemergiaan Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu itu turut disertai oleh 11 Ahli Parlimen pembangkang lain.

"Apa yang mengecewakan beliau menggambarkan seolah-olah parti tahu mengenai pemergiannya ke sana dan membuat tuduhan melulu," tegasnya.

Ditanya adakah mesyuarat lembaga berkenaan esok tetap akan diteruskan tanpa kehadiran Zulkifli, beliau enggan mengulas lanjut.

"Saya tidak boleh komen mengenai perkara ini, saya bukan orang yang sesuai untuk memberitahu tentangnya," katanya.

Sementara itu, beliau menafikan kononnya parti mengamalkan 'pilih kasih' kerana tidak mengeluarkan surat tunjuk sebab terhadap Ahli Parlimen Wangsa Maju, Wee Choo Keong dan Ahli Biro Politik, Datuk Zaid Ibrahim.

Sebaliknya, beliau memberitahu, mereka turut diberikan surat yang sama tetapi pada tarikh yang berbeza ekoran kes antara mereka tidak sama.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan