Akhirnya Anwar Mengaku Silap Selepas Lama Mendabik Dada...

Diterbitkan: Rabu, 17 Februari 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

DUNIA politik ibarat gelanggang catur yang memerlukan pertimbangan dan penilaian kritikal pemainnya terutamanya di pihak perancang utama.

Sekali tersilap langkah, sudah pasti akan mengundang padah yang bukan kepalang kesannya.

Terbaru, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang bertindak sebagai mastermind bagi Parti Keadilan Rakyat (PKR) seolah-olah sudah terkena check-mate hingga terpaksa mengakui telah tersalah memilih beberapa calon bagi mewakili parti itu untuk bertanding pada pilihan raya umum lepas.

Bukan senang untuk kita dengar tokoh politik seperti Anwar yang cukup arif dalam percaturan politik mengakui telah tersilap langkah terutamanya apabila gabungan pakatan pembangkang yang diterajui beliau menang bergaya pada Pilihan Raya Umum 2008.

Sejak gabungan Pakatan Rakyat yang dianggotai PKR, PAS dan DAP dibentuk selepas Mac 2008, Anwar cukup yakin dengan barisan pemainnya yang disifatkan cukup kental dan ikhlas bagi membantu rakyat.

Bagaimanapun sejak setahun yang lalu PKR menerima tamparan hebat apabila satu demi satu pemainnya gugur dalam medan percaturan politik yang dirancang Anwar.

Paling jelas semasa berlakunya konflik politik di Perak apabila dua wakil rakyatnya iaitu Jamaluddin Mohd Radzi (Behrang) dan Mohd Osman Mohd Jailu (Changkat Jering) meninggalkan PKR pada 30 Januari 2009 dan mengisytiharkan diri sebagai anggota Bebas yang menyokong Barisan Nasional (BN).

Selain itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Jelapang, Hee Yit Foong daripada DAP mengikut jejak mereka empat hari kemudian hingga menyebabkan kerajaan Pakatan Rakyat Perak tumbang dan BN kembali berkuasa.

Lagi wakil rakyat PKR yang bertindak keluar parti dengan alasan telah hilang kepercayaan terhadap kepimpinan pucuk pimpinan ialah ADUN Pelabuhan Kelang, Badrul Hisham Abdullah; ADUN Lunas, Mohd Radzi Salleh dan ADUN Bukit Selambau, V. Arumugam.

Terkini, paling menggemparkan apabila Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Mohamed Zahrain Hashim bertindak keluar kerana kecewa dengan kepimpinan kerajaan negeri Pulau Pinang serta hilang keyakinan terhadap gabungan pembangkang.

Nampaknya perkembangan berkenaan cukup memberi tamparan hebat kepada Anwar terutamanya ketika beliau sedang berhempas-pulas untuk 'membersihkan diri' daripada tuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Penasihat PKR itu sendiri sebelum ini melahirkan kekecewaannya dengan tindakan bekas Pengerusi PKR Pulau Pinang itu meninggalkan parti.

Kekecewaan terhadap tindakan Zahrain jelas memperlihatkan kesilapan besar yang dilakukannya kerana gagal mengawal kemaraan api dalam sekam yang wujud dalam PKR selama ini.

Jika disorot kembali rekod pemimpin parti pimpinan Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail itu, ia bukanlah sesuatu yang baru.

Antara nama besar yang enggan meneruskan permainan catur politik Anwar ialah bekas Timbalan Presiden, Dr Chandra Muzaffar; bekas Naib Presiden, Marina Yusof; bekas Ketua Angkatan Muda, Ezam Mohd Noor dan bekas Ketua Penerangan, Ruslan Kassim.

Selain mereka ialah ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PKR iaitu Zainur Zakaria dan S. Nallakaruppan, dua bekas Setiausaha Agung, Mohd. Annuar Tahir dan Salehuddin Hashim, bekas Setiausaha Sulit Kanan Anwar, Annuar Shaari dan bekas Bendahari Agung, Abdul Rahman Osman.

Ada juga yang seolah-olah 'memprotes' tetapi dengan hanya melepaskan jawatan-jawatan penting seperti Ahli Parlimen Indera Mahkota, Azan Ismail yang turut mengumumkan peletakan jawatan sebagai Timbalan Pengerusi PKR dan Biro Keahlian Pahang.

Bagaimanapun, beliau kekal sebagai ahli parti, Ahli Parlimen dan Ketua PKR Bahagian Indera Mahkota.

Bukan itu sahaja, kesilapan Anwar juga telah menyebabkan PKR Sabah berdepan saat genting apabila Naib Presiden parti, Datuk Dr Jeffrey Kitingan dan Ketua Bahagian Kota Kinabalu, Christina Liew, mengumumkan peletakan jawatan sebagai Ahli Majlis Tertinggi parti itu.

Semua itu gara-gara Anwar melantik Ahmad Thamrin Jaini sebagai Ketua PKR Sabah yang baru selepas mereka menolak pelantikan Naib Presiden PKR, Mohamad Azmin Ali untuk menerajui PKR negeri.

Lebih memeritkan di negeri yang diperintah sendiri oleh pakatan yang dikepalai PKR apabila 13 ahli jawatankuasanya (AJK) PKR Cabang Kuala Selangor yang diketuai Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim bertindak meletak jawatan kerana hilang kepercayaan terhadap Menteri Besar yang juga Pengerusi Perhubungan PKR Selangor itu.

Situasi ini bermakna Abdul Khalid hilang jawatan Ketua Cabang sehingga pemilihan baru diadakan yang dijangka pada penghujung tahun ini.

Kalau diikutkan ramai lagi ahli dan juga pemimpin peringkat akar umbi yang meninggalkan parti serpihan Umno itu kerana semakin sedar kesilapan-kesilapan Anwar yang gagal memimpin parti itu dengan baik.

Secara tidak langsung sama ada Anwar ataupun individu yang meninggalkan PKR sememangnya masing-masing telah melakukan kesilapan dalam merencanakan permainan politik mereka.

Bagi bekas Timbalan Perdana Menteri itu, kegagalan memilih calon yang tidak goyang tetapi bersih merupakan kesilapan besar yang dilakukannya.

Namun bagi pemimpin atau ahli PKR yang bertindak 'angkat kaki' sejak kebelakangan ini, kesilapan yang mungkin mereka lakukan sebelum ini ialah dengan menyertai parti itu.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan