JKJR Adakan Operasi "Jump Q" Untuk Pengguna Jalan Raya - Berita Semasa | mStar

JKJR Adakan Operasi "Jump Q" Untuk Pengguna Jalan Raya

Diterbitkan: Selasa, 16 Februari 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) memulakan operasi "Jump Q" bagi memberi kesedaran kepada pengguna jalan raya tentang bahaya perbuatan memotong kenderaan lain ketika berada di kawasan garisan berkembar.

Ketua Pengarah JKJR, Datuk Suret Singh berkata, operasi itu diadakan dengan kerjasama polis dan "Road Safety Marshal Club" iaitu sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di bawah naungan Menteri Pengangkutan Datuk Seri Ong Tee Keat.

"Kita telah mulakan operasi ini semalam di Lebuhraya Nilai-Seremban dari pukul 10 pagi hingga 2 petang dengan kehadiran pihak polis," katanya kepada pemberita di sini selepas sesi menampal pelekat "Kegunaan Sistem Pengangkutan Awam Mengurangkan Kemalangan" di Hentian Duta di sini, hari ini.

Suret berkata menerusi operasi itu, polis akan menahan kenderaan yang melakukan kesalahan memotong kenderaan lain di garisan berkembar.

"Ketika anggota polis merekodkan saman, anggota kelab pula akan memberi penerangan kepada pemandu terbabit tentang kesalahan serta bahaya perbuatan mereka itu terhadap pengguna jalan raya yang lain," katanya. - BERNAMA

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan