Undang-Undang Banteras Penyeludupan Perlu Diperketatkan - PGA - Berita Semasa | mStar

Undang-Undang Banteras Penyeludupan Perlu Diperketatkan - PGA

Diterbitkan: Isnin, 15 Februari 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

RANTAU PANJANG: Undang-undang bagi membanteras kegiatan penyeludupan perlu diperketatkan lagi oleh agensi berkaitan bagi membendung gejala itu yang semakin berleluasa di sempadan Malaysia-Thailand.

Komander Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA), Datuk Abdul Rahim Jaafar, berkata pihaknya menyarankan supaya akta-akta yang sedia perlu dikaji semula bagi memperkemaskan lagi tindakan penguatkuasaan.

Menurutnya penyeludup memandang remeh dengan tindakan penguatkuasaan mengikut peruntukan undang-undang yang sedia ada dan mereka kini lebih berani meneruskan kegiatan penyeludupan.

"Kelemahan dan kesilapan dalam akta yang sedia ada perlu diteliti dan diperbaiki supaya kegiatan penyeludupan dapat dibanteras sepenuhnya," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan tugas 'Ops Wawasan' daripada PGA Batalion 8 kepada Batalion 9 di Markas Taktikal PGA Lubok Stol, dekat sini, hari ini.

Sementara itu, Abdul Rahim berkata PGA Batalion 8 telah merampas pelbagai barangan seludup bernilai RM1.8 juta termasuk 292 ekor lembu bernilai RM1.2 juta dan beras bernilai RM34,000 dalam 'Ops Wawasan' sejak awal bulan lepas. - BERNAMA

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan