Terengganu Ambil Guru Asia Barat Ajar Bahasa Arab

Diterbitkan: Isnin, 15 Februari 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA TERENGGANU: Kerajaan Terengganu akan mengambil 16 orang lagi guru bahasa Arab dari negara Asia Barat dalam usaha meningkatkan mutu pembelajaran bahasa tersebut di kalangan pelajar sekolah agama bantuan kerajaan (SABK) di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains & Teknologi dan Sumber Manusia negeri Ahmad Razif Abdul Rahman berkata program perintis pengambilan guru bahasa Arab itu telah pun bermula pada tahun lepas dan kini menunjukkan hasil yang memuaskan.

"Dalam projek perintis tahun lepas, kita telah mengambil 13 guru bahasa Arab dari Sudan dan Syria dan hasilnya ia banyak membantu pelajar kita dalam meningkatkan penguasaan bahasa Arab.

"Jadi tahun ini, kita tambah lagi 16 orang guru bahasa Arab dari negara Mesir serta Sudan dan mereka akan ditempatkan di SABK di seluruh negeri ini tidak lama lagi," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata sebelum ini kebolehan pelajar Terengganu di sekolah-sekolah agama dalam subjek bahasa Arab agak lemah.

Ahmad Razif berkata dengan pengambilan guru-guru bahasa Arab berkenaan, ia akan memberi satu kelainan dalam suasana pembelajaran yang mana komunikasi secara langsung dengan guru dalam bahasa Arab akan memberi lebih keyakinan kepada pelajar untuk menguasai bahasa itu. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan