Perkhidmatan KTM Sektor Utara Dijangka Pulih Hari Ini

Diterbitkan: Isnin, 15 Februari 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Perkhidmatan tren Keretapi Tanah Melayu (KTM) Antarabandar dan perkhidmatan pengangkutan barang di sektor Utara yang tergendala akibat kegelinciran 28 gerabak keretapi barang di KM 58.75 Junun-Gurun, Kedah, petang semalam dijangka pulih pada pukul 4.30 petang ini.

KTM Berhad (KTMB) dalam satu kenyataan di sini pagi ini berkata, kerja-kerja pengalihan gerabak dan membaik pulih landasan sedang giat dijalankan.

KTMB menjangkakan hanya satu perkhidmatan yang akan terjejas hari ini iaitu Ekspres Antarabangsa Butterworth-Bangkok.

"Penumpang yang menggunakan perkhidmatan Ekspres Antarabangsa ini akan dibawa menaiki bas dari Butterworth ke Alor Setar sebelum meneruskan perjalanan ke Hatyai dari stesen tersebut," kata kenyataan itu.

Menurut KTMB perkhidmatan Tren Ekspres Senandung Malam dijangka beroperasi seperti yang dijadualkan.

Untuk maklumat lanjut pengguna boleh hubungi talian 1-300-5862.

"KTMB memohon maaf di atas segala kesulitan yang timbul ekoran insiden ini," kata kenyataan itu.

Dalam insiden pukul 4.48 petang semalam, 28 gerabak keretapi barang dalam perjalanan dari Padang Besar ke Butterworth tergelincir, mengakibatkan perkhidmatan Ekspres Langkawi-Hatyai dari Gemas, Johor, dan perkhidmatan Ekspres Hatyai-Langkawi dari Padang Besar, tergendala kerana landasan ditutup.

Bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dilaporkan. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan