Iran Komited Banteras Penyeludupan Dadah - Duta

Diterbitkan: Isnin, 15 Februari 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Duta Iran ke Malaysia Prof Dr Mohammad Mehdi Zahedi berkata negaranya komited dalam membanteras penyeludupan dadah dan berharap akan ada kerjasama antara Malaysia, Iran dan polis antarabangsa bagi membongkar kumpulan mafia antarabangsa yang dirasakan beliau terlibat dalam penyeludupan dadah ke Malaysia oleh warga Iran.

"Saya berasa kesal mendengar penglibatan rakyat Iran, tetapi saya nak tegaskan dan memberi jaminan kepada anda bahawa negara saya mempunyai keinginan yang kuat dan komited untuk membanteras (penyeludupan) dadah narkotik," katanya kepada Bernama dalam satu temubual baru-baru ini.

Malah, ribuan telah terbunuh saban tahun dalam usaha menentang penyeludupan dadah, katanya ketika diminta mengulas mengenai penahanan beberapa rakyat Iran atas kesalahan berkaitan dadah di Malaysia sejak kebelakangan ini.

Laporan menunjukkan pada tahun ini sahaja 41 warga Iran ditahan di atas kesalahan itu. Pada 8 dan 9 Feb lepas, polis menahan tujuh rakyat Iran termasuk seorang wanita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dan Damansara dalam lima kes berasingan, serta merampas 15.5kg dadah jenis syabu bernilai RM3.9 juta.

Menurut laporan, warga asing itu memasuki negara ini sebagai pelancong dan berdasarkan dokumen perjalanan mereka ini adalah lawatan pertama ke Malaysia. Mereka telah mengambil penerbangan sambungan dari Dubai dan Bahrain. Dr Zahedi berkata kebanyakan yang ditahan walaupun warga Iran, tidak menggunakan penerbangan terus dari Tehran ke Kuala Lumpur tetapi sama ada penumpang transit atau sambungan melalui negara lain.

Beliau berkata ini menunjukkan pihak polis, imigresen dan kastam di sempadan Iran khususnya di lapangan terbang adalah sangat aktif dan serius dalam memastikan tidak ada 'apa-apa melepasi kawalan' mereka.

"Jadi kami berpandangan mungkin ada mafia atau kumpulan di luar sempadan Iran yang melakukan dan memebri arahan kepada kegiatan ini.

"InsyaAllah dengan kerjasama rapat antara polis Malaysia dan Iran serta negara-negara yang dijadikan transit dan penghubung, kita berharap dapat membongkar kegiatan kumpulan itu tidak lama lagi," katanya.

Mengulas lanjut mengenai komitmen Iran untuk menentang ancaman dadah, beliau berkata negaranya adalah antara negara di dunia ini yang telah banyak 'berhabis' dalam menentang ancaman itu dan perkara ini telah diperakui Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

"Malah Iran juga adalah mangsa kepada dadah dan penyeludup. Kami telah melabur jutaan dolar setiap tahun untuk menangani isu ini dan bukan saja menderita daripada segi kewangan tetapi juga ribuan orang telah terbunuh dalam perjuangan menentang dadah," katanya.

Beliau juga menghujahkan bahawa daripada segi geografi, Iran terletak di kawasan kejiranan yang bukan saja pengeluar terbesar biji popi tetapi turut memasarkannya.

"Justeru komitmen dan tanggungjawab kami (dalam menentang dadah) bukan sekadar berkaitan keselamatan negara tetapi juga tujuan kemanusiaan dan membantu seluruh dunia dengan tidak membenarkan pengedaran dadah ke Iran selain tidak membiarkan Iran menjadi transit ke negara-negara lain," katanya.

Kerajaan Republik Iran telah mengambil pelbagai langkah bagi mencegah atau setidak-tidaknya menyukarkan kegiatan penyeludupan dadah, kata Dr Zahedi.

"Akan tetapi penyeludup-penyeludup ini sentiasa menggunakan teknologi moden selain kaedah-kaedah baru dan sekali lagi terserah kepada pihak polis serta mereka yang berkenaan untuk mengenal pasti mekanisme yang diwujudkan oleh penyeludup.

"Kami mendengar kebiasaannya kumpulan penyeludup dadah antarabangsa ini lebih ke hadapan berbanding polis daripada segi mekanisme. Ini satu daripada masalah yang dihadapi," katanya.

Mengenai jenis hukuman yang dikenakan Iran terhadap mereka yang didapati bersalah mengedar atau menyeludup dadah, duta itu berkata seperti Malaysia, Iran juga mengenakan hukuman keras.

Ditanya sama ada warga Iran mengetahui hukuman yang dikenakan oleh Malaysia terhadap kesalahan mengedar dadah, beliau berkata maklumat itu telah disampaikan.

"Itu adalah tugas kedutaan. Kita telah menyampaikan mesej itu menerusi pelbagai cara bahawa di sini hukuman keras dikenakan bagi kesalahan menyeludup dadah," katanya.

Bagaimanapun beliau menegaskan bahawa "kumpulan minoriti yang melakukannya dan mereka tidak memasuki negara ini menerusi Tehran" sambil menambah pada masa ini terdapat sekitar 50,000 warga Iran di Malaysia.

Beliau berkata adalah penting untuk menjelaskan perkara itu kepada orang ramai memandangkan kerajaan kedua-dua negara menyedari situasi tersebut. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan