Najib Hadiri Persidangan Nuklear Dunia Di Washington April Ini

Diterbitkan: Sabtu, 13 Februari 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

ROMPIN: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan menghadiri Persidangan Nuklear Dunia di Washington, Amerika Syarikat (AS) yang dijadualkan berlangsung dari 12 hingga 13 April depan.

Duta Besar Malaysia ke AS Datuk Seri Dr Jamaludin Jarjis berkata Presiden AS Barack Obama telah secara rasminya menjemput Perdana Menteri menghadiri persidangan itu menerusi surat yang disampaikan melalui Kedutaan Malaysia di Washington.

Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Umno Bahagian Rompin di Universiti Tenaga Nasional di Muadzam Shah dekat sini hari ini, Jamaludin berkata beliau dimaklumkan sendiri oleh Najib mengenai pengesahan kehadiran beliau pada persidangan yang akan dihadiri oleh pemimpin-pemimpin kanan dari lebih 40 buah negara itu.

Beliau, yang juga Anggota Parlimen Rompin berkata jemputan daripada Obama itu merupakan penghormatan besar kepada Malaysia memandangkan negara ini bukanlah sebuah negara pengeluar nuklear namun suara dan pandangannya turut mahu dikongsi bersama dengan negara lain.

"Saya rasa rakyat Malaysia patut rasa bangga sebab kita bukan negara kuasa nuklear dunia tetapi Presiden Obama beri penghormatan kepada Perdana Menteri kita menghadirinya dan pada masa yang sama menghormati Malaysia sebagai negara Islam dan mahukan suara Islam dalam membincangkan isu ini," katanya.

Jamaludin berkata lawatan Najib itu juga memberi peluang kepada beliau menemui pelabur-pelabur berpotensi dari AS untuk datang melabur di Malaysia bagi mengukuhkan lagi hubungan perdagangan antara Kuala Lumpur-Washington.

Katanya antara cadangan program beliau kepada Najib adalah mengadakan pertemuan bersama pengerusi dan ketua pegawai eksekutif syarikat-syarikat besar AS yang bermastautin di Malaysia bagi mendengar sendiri daripada Najib mengenai dasar-dasarnya untuk menarik lebih banyak pelaburan ke dalam negara.

Pertemuan juga, katanya akan turut diadakan bersama tokoh-tokoh kerajaan peringkat menteri untuk melihat bagaimana produk-produk dari Malaysia khususnya produk pertanian dapat menembusi pasaran AS. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan