Tindakan Perlu Diambil Terhadap Mereka Yang Buang Anak

Diterbitkan: Jumaat, 12 Februari 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor, yang dukacita dengan kes membuang bayi yang semakin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini, mahu tindakan segera diambil bagi membendung perbuatan itu.

Beliau yang menyifatkan perbuatan itu sebagai amat kejam, mahu pihak yang melakukan perbuatan terkutuk berkenaan dihadapkan ke muka pengadilan dan diberi hukuman yang setimpal.

"Jika dahulu, kes-kes pembuangan bayi tidak begitu kerap dilaporkan tetapi perkara itu menjadi semakin serius akhir-akhir ini.

"Saya ingin menasihati kaum wanita di negara ini khususnya para belia untuk berfikir dahulu sebelum membuat sesuatu tindakan kerana bayi juga adalah insan yang inginkan kasih sayang seperti manusia lain," katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan kanak-kanak pemain piano pintar, Tengku Ahmad Irfan Tengku Ahmad Shahrizal di kediamannya di Jalan Langgak Duta di sini.

Beliau diminta mengulas penemuan mayat bayi perempuan yang dihurungi semut di pintu pagar Masjid Permatang Duyong, Melaka semalam.

Rosmah berkata, kes membuang bayi berlaku kerana kebanyakan wanita tidak bersedia menjadi ibu atau tidak mahukan bayi berkenaan, dan tanpa berfikir panjang sanggup membuang, malah membunuh anak yang mereka lahirkan.

Mengenai pertemuan dengan Tengku Ahmad Irfan, beliau yang juga penaung program Permata Negara mahu bakat kanak-kanak yang berkebolehan bermain piano sejak usia tujuh tahun, dikembangkan sehingga ke peringkat antarabangsa.

"Saya mahu melihat lebih ramai kanak-kanak yang mempunyai kepintaran dalam bidang muzik diserapkan dalam Program Permata Seni termasuk adik Tengku Irfan supaya kemahiran mereka boleh diketengahkan dan tidak disia-siakan," katanya.

Katanya, bakat kanak-kanak itu akan digunakan sebaiknya apabila Tengku Irfan dipilih untuk satu persembahan Orkestra Kanak-Kanak yang akan diadakan di Istana Budaya di sini pada November ini.

"Orkestra itu akan disertai kanak-kanak berusia antara sembilan dan 15 tahun dan jika semuanya berjalan lancar, ia bakal menjadi orkestra pertama kanak-kanak di bawah Program Permata Seni," katanya.

Rosmah berkata Malaysia tidak pernah ketandusan bakat istimewa yang pintar dalam pelbagai bidang muzik dan bakat golongan ini seharusnya dikembangkan.

Program Permata Seni Muzik yang dikendalikan Istana Budaya, menjurus kepada kanak-kanak yang cemerlang dalam permainan alat muzik khususnya muzik bertali seperti biola, viola, cello dan piano dan kini disertai oleh kira-kira 35 kanak-kanak.

Bakat bermain piano Tengku Ahmad Irfan,11, yang luar biasa turut membolehkan beliau dianugerahkan Sijil Kecemerlangan Piano Solo Gred Lima the Trinity Guildhall Certificate of Excellence setelah lulus cemerlang untuk gred itu.

Pelajar tahun lima Sekolah Kebangsaan Sri Petaling itu juga lulus cemerlang dalam peperiksaan Gred Lapan serta berkebolehan mencipta serta mengarang lagu.

Anak sulung daripada tiga beradik dan juga anak kepada seorang pakar bedah Telinga, Hidung dan Tekak (ENT) di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) itu turut diberi peluang untuk membuat persembahan dengan Malaysian Philharmonic Orchestra (MPO) dalam persembahan lagu-lagu Beethoven selama dua hari bermula 3 Oktober ini. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan