28,000 Ahli Umno Terengganu Belum Daftar Sebagai Pegundi

Diterbitkan: Jumaat, 12 Februari 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KEMAMAN: Seramai 28,000 daripada lebih 200,000 anggota Umno di Terengganu belum mendaftar sebagai pemilih walaupun mereka layak berbuat demikian, kata Menteri Besar Datuk Ahmad Said hari ini.

Ahmad yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri berkata kebanyakan mereka adalah golongan muda iaitu anggota Puteri dan Pemuda.

"Sehubungan itu kita akan meminta jentera parti terutama pada kalangan Pemuda supaya memperhebatkan gerakan untuk mendaftar mereka yang berkenaan sebagai pengundi," katanya kepada Bernama, di sini hari ini.

Beliau sebelum itu merasmikan Bakti Remaja Pemuda dan Puteri Umno dan perasmian Kelab Permotoran peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal di pekarangan R&R Meraga Beris di sini.

Dalam perkara berlainan, Ahmad berkata kerajaan negeri akan mewujudkan kelab permotoran di setiap kawasan DUN dengan sasaran 1,000 anggota setiap kawasan.

Ahmad berkata, kelab tersebut akan diwujudkan secara berperingkat-peringkat dalam usaha kerajaan untuk membanteras gejala sosial pada kalangan belia terutama melibatkan golongan 'mat rempit'.

"Melalui kelab permotoran ini kita akan mengadakan pelbagai program, termasuk konvoi bermotor dari satu daerah ke daerah lain dan turut diselitkan dengan ceramah pemanduan selamat mengikut undang-undang, ceramah anti dadah, dan bimbingan keagamaan.

"Belia yang berumur 18 tahun ke atas dan mempunyai lesen memandu digalakkan menyertai kelab permotoran ini dan mereka akan diberikan topi keledar dan jaket keselamatan yang ditempah khas oleh kerajaan negeri," katanya.

Beliau berkata kerajaan negeri merancang untuk menjemput Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bagi melancarkan secara rasmi kelab tersebut pada pertengahan tahun ini. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan