Tun Dr Mahathir Gesa Umat Islam Bertanggungjawab Bersihkan Imej Islam

Diterbitkan: Khamis, 11 Februari 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Bekas perdana menteri Tun Dr.Mahathir Mohamad hari ini menggesa umat Islam di negara ini agar bertanggungjawab membersihkan imej Islam, jika tidak orang Islam akan terus mendapat nama yang buruk.

"Kita biasa dituduh sebagai agama pengganas, agama terroris bahkan ada yang menuduh Nabi Muhammad s.a.w sendiri adalah pemimpin terroris. Kita mendapat imej yang amat buruk sekarang ini.

"Dan kita tahu sebab-sebabnya...sebab-sebab ramai dari orang Islam bertindak sedemikian sehingga mereka dituduh sebagai pengganas," katanya ketika berucap pada majlis sambutan Hari Perkim 2010/1431 ke-50 di Masjid Wilayah Persekutuan di sini, malam ini.

"Tetapi untuk memberi gambaran (elok) amatlah perlu umat Islam sendiri mencerminkan budaya yang dianjurkan oleh Islam.

"Kadang-kadang kita dapati orang Islam sendiri bergerak melakukan tindakan-tindakan dan juga bercakap dengan cara yang memburukkan agama Islam," ujar beliau.

Dr Mahathir berkata oleh sebab itu masyarakat Islam harus membetulkan diri sendiri.

Sekiranya penganut agama Islam tidak mengamalkan ajaran Islam sebagaimana dikehendaki seperti bersopan, bertimbang rasa dan tidak melakukan perkara yang keji, maka secara tidak langsung orang Islam akan mendapat kesannya.

Malah, katanya, pada masa ini masih banyak kecaman dan tohmahan yang dilemparkan terhadap orang Islam terutama Melayu Islam.

Tun Dr Mahathir berkata umat Islam harus meneliti semula ajaran-ajaran Islam dalam Al-Quran, hadis-hadis sahih agar apa yang diamalkan akan dilihat sebagai dinamis dan suci. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan