Karpal Singh Kata Hakim Bohong

Diterbitkan: Khamis, 11 Februari 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Peguam Karpal Singh yang mengetuai pasukan pembelaan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kes liwat membabitkan ketua pembangkang itu, Rabu ditegur kerana menggunakan perkataan kasar terhadap Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah yang mengadili kes itu.

Peguam Cara Negara II, Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden, yang mengetuai pihak pendakwaan dalam kes itu berkata, Karpal bebas mengemukakan hujah tanpa perlu menghina hakim.

"Untuk mengatakan Yang Arif berbohong adalah terlalu kasar. Walaupun kita boleh berhujah sebaik manapun untuk anak guam kita, tetapi menggunakan perkataan kasar adalah tidak wajar.

"Kita boleh berbuat demikian dengan sopan dan beretika," katanya ketika berhujah semasa mahkamah mendengar permohonan pihak pembelaan supaya Hakim Mohamad Zabidin menarik diri daripada kes itu kononnya kerana beliau berat sebelah.

Sebelum itu, Karpal berkata bahawa oleh kerana Hakim Mohamad Zabidin tidak berterus terang kerana tidak merujuk Utusan Malaysia bagi kesalahan menghina mahkamah berhubung laporan yang dianggap palsu, pihak pembelaan melihat itu sebagai "satu pembohongan oleh Yang Arif".

Anwar, 63, yang juga penasihat Parti Keadilan Rakyat dan Anggota Parlimen Permatang Pauh, menghadapi tuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan, 25, di Unit 11-5-1 Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara di sini antara 3.01 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun 2008.

Pertuduhan adalah mengikut seksyen 377B Kanun Keseksaaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika disabit kesalahan. Perbicaraan kes itu masuk hari keenam hari ini tetapi ditangguhkan bagi mendengar permohonan oleh pihak pembelaan itu.

Mohd Saiful, saksi pertama, sedang disoal dalam pemeriksaan balas.

Pada prosiding Rabu, Mohd Yusof berkata Hakim Mohamad Zabidin tidak perlu menarik diri kecuali jika ada perkara atau sebab semasa perbicaraan bahawa hakim itu bertindak berat sebelah.

Bagaimanapun, kata beliau, andaian wujudnya sikap berat sebelah perlulah dibuat dengan penuh kejujuran dan berlandaskan kemuliaan badan kehakiman.

Mohd Yusof berkata sikap berat sebelah tidak boleh dibuktikan kewujudannya, melainkan hakim mempunyai kepentingan diri atau kepentingan daripada segi kewangan.

Katanya mahkamah tidak sepatutnya mengetepikan isu sebenar yang ada di hadapannya, apa yang dilaporkan oleh media atau kesalahan yang dilakukan mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan.

"Dalam kes ini, apa jua yang dilaporkan oleh akhbar adalah sesuatu yang berasal dari luar," katanya.

Mohd Yusof berkata dalam permohonan bagi melucutkan kelayakan seseorang hakim, mahkamah perlu menimbang beberapa perkara, termasuk ujian tentang wujudnya bahaya sebenar, dan orang ramai yang cukup bermaklumat sedar bahawa hakim berkenaan tidak berlaku adil kepada mereka sekiranya beliau membuat sesuatu keputusan tanpa berdasarkan bukti atau berdasarkan alasan yang tidak berkaitan.

"Aduan tentang Utusan Malaysia bukan suatu isu yang perlu dibuat keputusan oleh mahkamah ini dalam mengadili tuduhan yang dikenakan terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim," kata beliau.

Mohd Yusof berkata keputusan hakim berkenaan bukan bererti penolakan sepenuhnya dan pihak pembelaan boleh memohon penangguhan sebelum memfailkan usul menuduh Utusan Malaysia menghina mahkamah mengikut Perintah 52 Peraturan-peraturan Mahkamah Tinggi.

Katanya adalah silap dan berlebihan bagi pasukan pembelaan untuk membuat andaian bahawa mahkamah telah menolak usul bagi menuduh akhbar itu menghina mahkamah kerana permohonan mengenainya tidak dibuat secara formal.

Mohd Yusof berkata asas bagi aduan berkenaan (merujuk kepada laporan muka depan bertajuk "Tak rela diliwat lagi" bertarikh 4 Februari), telah terhapus setelah kedua-dua pihak membuat pengesahan tentang perkara itu melalui nota prosiding dan rakaman audio mahkamah.

Mengenai aduan kedua iaitu berkaitan keterangan pada foto, beliau berkata perkataan yang digunakan mempunyai maksud yang kabur.

"Inilah yang berlaku apabila kita ingin sembunyikan maklumat daripada orang ramai. Tetapi, Karpal tetap bertegas mengenainya. Apa yang ada hanyalah sekeping foto... kapsyennya mempunyai maksud yang tidak jelas... saya tak nampak ada sebarang masalah... kapsyen berkenan merujuk kepada sebuah katil tempat kesalahan itu berlaku," kata beliau.

Mohd Yusof berkata maklumat terperinci tentang katil dan bilik tidur utama telah disebut di mahkamah terbuka dan tiada siapa dapat mempertikaikannya kerana ia dicatat dalam nota prosiding.

Katanya dalam membuat laporan tentang kes liwat, pemberita mungkin tersilap dengar, tetapi mereka tidak boleh membuat laporan dengan niat jahat.

"Hari ini, terbukti bahawa mereka melaporkan dengan betul berdasarkan nota prosiding mahkamah dan oleh itu, pihak pendakwaan perlu memohon maaf kepada pemberita Utusan Malaysia yang berkenaan," katanya.

Beliau berkata para hakim dilatih supaya hanya membuat keputusan berdasarkan bukti yang dikemukakan di mahkamah, bukan berdasarkan laporan akhbar.

"Mahkamah yang adil akan hanya membuat keputusan berdasarkan bukti. Masih terlalu awal untuk mengatakan bahawa Yang Arif bersikap berat sebelah," katanya.

Sementara itu, Karpal Singh meminta Mohamad Zabidin menarik diri daripada mengadili kes berkenaan kerana mendakwa hakim itu melakukan kesalahan apabila beliau tidak mengatakan sesuatu yang benar dan ini boleh dianggap sebagai melakukan pemalsuan dan pembohongan.

Karpal berkata dalam keputusannya, hakim berkenaan berkata butiran terperinci telah disebut di mahkamah terbuka, sedangkan ia tidak terdapat dalam nota prosiding dan rakaman audio mahkamah.

"Ini menunjukkan bahawa Yang Arif berbohong. Ini terbukti, boleh dibuktikan dan telahpun dibuktikan. Yang Arif tidak berlaku jujur, jadi Yang Arif berat sebelah. Buktinya ada di sini, ia adalah suatu fakta. Oleh itu, Yang Arif tiada pilihan, selain mengundurkan diri," katanya.

Karpal berkata dalam menolak permohonan pihak pembelaan untuk menuduh Utusan Malaysia menghina mahkamah, hakim berkenaan membuat keputusan bahawa laporan itu tidak menghina mahkamah dan akhbar berkenaan tidak berniat untuk menimbulkan kekeliruan.

"Bagaimanakah Yang Arif boleh membuat kesimpulan bahawa tidak wujud niat seperti itu? Ia datang daripada Utusan, bukan dari mahkamah ini...yang Arif perlu keluarkan surat tunjuk sebab kepada Utusan Malaysia, tapi yang Arif tidak berbuat demikian," kata beliau.

Mohamad Zabidin menetapkan 18 Februari sebagai tarikh untuk menyampaikan keputusannya. - BERNAMA

iklan

Video

Selasa, 12 Disember 2017 5:41 PM

Jom Lepak Tempat 'Best' Tapi Percuma

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Isnin, 11 Disember 2017 9:00 AM

#BiziBody : De Fam Kantoi Gambar Selfie

Ahad, 10 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Aziz Harun - Jangan

Jumaat, 8 Disember 2017 10:55 PM

Abam Bocey Malu Manja Dengan Isteri Depan Kamera

Jumaat, 8 Disember 2017 8:15 PM

Malaysia Tak Diam Diri, Terus Bela Nasib Palestin

Jumaat, 8 Disember 2017 2:02 PM

Zarul Husin Takut Tua

Jumaat, 8 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Awi Rafael - Kau Di Hatiku

Kolumnis

iklan

Iklan