"Ia boleh selam...tapi tak diizinkan selam" - PTL

Diterbitkan: Khamis, 11 Februari 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar mengesahkan kapal selam pertama negara, KD Tunku Abdul Rahman mengalami kecacatan pada komponen (Defect High Pressure Air Blowing) yang boleh menjejaskan keselamatan kapal berkenaan jika ia menyelam.

Bahagian itu menyalurkan tekanan air keluar masuk bagi membolehkan kapal selam itu menyelam.

Sehubungan itu, beliau berkata, kapal Scorpene binaan Perancis bernilai RM1 bilion itu sedang menjalani penyelenggaraan dan tidak dibenarkan beroperasi sekarang demi menjamin keselamatan anggota tentera yang mengendalikan kapal itu.

"Ia boleh selam, tapi tidak diizinkan menyelam. Memandangkan ia masih berada dalam tempoh jaminan, maka kontraktor dan pembekal akan (terlebih dahulu) memperbaiki kecacatan yang berlaku."

"Kita mengesan kecacatan pada 17 Januari lalu semasa ia timbul. Ia boleh diperbaiki sekali gus menjalani ujian air tropika pada 18 Februari ini selepas mendapat sijil kelayakan," katanya pada pemberita di sini hari ini.

Beliau mengulas laporan akhbar The Malay Mail semalam yang melaporkan kapal selam berkenaan gagal menyelam berikutan masalah teknikal yang dialami sejak tiga bulan lepas.

Mengulas lanjut, Abdul Aziz berkata, kerosakan itu dikesan ketika ia dilabuhkan di Teluk Sepanggar, Sabah.

Katanya, ia adalah kerosakan kedua selepas kerosakan komponen Forward Seawater Cooling System (bahagian sistem penyejuk air laut) pada tahun lalu selepas aset TLDM itu menyertai Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2009 di Langkawi.

"Ia adalah kecacatan biasa dan berlaku pada sub-sistemnya, dan bukan sistem utamanya.

"Bagaimanapun, kita ingin memastikan ia benar-benar okey dan tidak membahayakan anggota TLDM yang mengendalikan kapal itu," jelasnya.

Abdul Aziz berkata, anggota-anggota TLDM beria-ia dan bersemangat tinggi untuk menjalani ujian air tropika apabila ia diperbaiki sepenuhnya.

KD Tunku Abdul Rahman atau Scorpene merupakan kapal selam jenis tempur konvensional yang berkemampuan membawa 10 torpedo dan 30 pemusnah periuk api.

Ia mampu beroperasi mengawasi perairan negara pada kedalaman 100 hingga 200 meter.

Antara kelengkapan Scorpene ialah enam tiub peluru berpandu yang boleh dilancarkan serentak iaitu peluru berpandu anti kapal permukaan dan torpedo anti kapal selam.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan