Pakatan Rakyat Perak Minta Penyokong Hormati Keputusan Mahkamah

Diterbitkan: Rabu, 10 Februari 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

IPOH: Pakatan Rakyat (PR) Perak hari ini meminta semua penyokong supaya bertenang dan menerima keputusan Mahkamah Persekutuan semalam berhubung kedudukan Menteri Besar Perak sebagai satu proses undang-undang yang perlu dihormati.

Pengerusi Sekretariat PR Perak Khalil Idham Lim dalam kenyataannya hari ini berkata semua 28 Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) PR telah membuat keputusan untuk menjadi pembangkang yang efektif di DUN Perak dan sehubungan itu para penyokong diminta supaya tidak melakukan tindakan yang melanggar undang-undang.

"Keputusan tersebut bukannya kita mengaku kalah namun atas prinsip menghormati keputusan mahkamah," katanya.

Khalil yang juga Adun Titi Serong (PAS) berkata semua penyokong diminta menyusun langkah lebih terancang bagi memastikan PR terus melekat di hati rakyat serta membantu program-program Pusat Khidmat Adun PR di seluruh negeri.

Mahkamah Persekutuan semalam memutuskan pelantikan Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir sebagai Menteri Besar oleh Sultan Perak Sultan Azlan Shah adalah sah dan menolak rayuan bekas Menteri Besar Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan