Nelayan Ditahan Di Pontianak Sejak November Lepas Selamat Pulang

Diterbitkan: Rabu, 10 Februari 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SEPANG: Tekong bot nelayan Terengganu, Che Wan Budiman Che Wan Ngah, yang ditahan di pusat tahanan di Pontianak, Indonesia sejak November lepas setelah dipercayai termasuk kawasan perairan negara itu, selamat pulang ke tanah air hari ini.

Che Wan Budiman kelihatan sebak ketika mengucapkan ribuan terima kasih kepada Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said dan Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Seberang Takir Ahmad Razif Abd Rahman, yang menunggu ketibaannya di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) di sini.

Tanpa bantuan dan campurtangan daripada kerajaan negeri dan pihak-pihak yang terlibat, dia mungkin ditahan di negara itu lebih lama, katanya ketika ditemui pemberita.

Ditanya perkara pertama yang ingin dilakukannya selepas kembali ke tanah air, katanya dia ingin berjumpa bapanya kerana rasa bersalah apabila bot yang diwariskan oleh bapanya itu telah dirampas pihak berkuasa perikanan Indonesia.

Katanya sungguhpun mengalami pengalaman pahit termasuk terkena tembakan pihak berkuasa negara itu, namun tidak serik untuk terus menjadi nelayan kerana itu sahaja pekerjaan yang diketahuinya, namun akan lebih berhati-hati pada masa depan.

Che Wan Budiman, 31, yang merupakan nelayan dari Seberang Takir, Terengganu ditahan di Pontianak, Indonesia sejak November lalu bersama-sama empat lagi anak kapal iaitu Ahmad Faizul Sulong, 33, Akhmadi Daud, 28, Mohd Arif Rosli, 20, dan Musa Mahammad, 33.

Bot nelayan mereka ditahan oleh pihak berkuasa perikanan Indonesia pukul 9 pagi, 12 November tahun lalu kira-kira 150 batu nautika dari Kuala Terengganu berhampiran kawasan Pelantar Minyak Berlumut iaitu kira-kira tiga kilometer sahaja dari sempadan Malaysia-Indonesia.

Bagaimanapun empat anak kapal tersebut dibebaskan dan pulang ke tanah air 27 Disember lalu, meninggalkan Che Wan Budiman sebagai tekong untuk dibicarakan.

Beliau kemudiannya dibebaskan selepas dibicarakan dengan bayaran denda yang diselesaikan dengan bantuan kerajaan negeri Terengganu, walaupun botnya terpaksa dirampas.

Mengimbas kembali detik-detik cemas ketika ditahan, Che Wan Budiman berkata ketika itu cuma rasa takut menyelubungi dirinya.

"Mula-mula mereka bagi tembakan amaran sebanyak dua kali tetapi kita tak berhenti, jadi dia tembak terus. Bila kita berhenti dan tahu kita dari Malaysia, mereka cakap baik-baik," katanya.

Parut akibat terkena tembakan akan menjadi peringatan untuk sentiasa berhati-hati apabila turun ke laut supaya tidak tersasar ke perairan negara jiran lagi, katanya mengakhiri perbualan. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan