Hindraf Perlu Memilih Rakan Sekutu

Diterbitkan: Rabu, 10 Februari 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Barisan Bertindak Hak-hak Hindu (Hindraf) perlu memilih sama ada pakatan pembangkang atau Barisan Nasional (BN) yang memerintah sebagi rakan sekutu jika ia benar-benar mahu meneruskan perjuangan bagi 1.8 juta penduduk kaum India di Malaysia.

Menurut penganalisis politik, ini kerana "golongan atas pagar" tidak membawa sebarang kebaikan untuk komuniti itu memandangkan Hindraf yang masih belum diiktiraf akan hilang kuasa membuat tawaran dan kredibiliti kerana enggan berpihak.

Datuk Dr Denison Jayasooria berkata tiada "cara ketiga" bagi mana-mana parti politik di negara ini dengan mengambil kira landskap politik negara, yang telah menghadapi perubahan dramatik sejak pilihan raya umum 2008.

Pada pilihan raya umum lepas, pembangkang menawan lima negeri Kelantan (kekal diperintah PAS sejak pilihan raya umum 1990), Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor.

BN merampas semula Perak selepas dua anggota dewan undangan negeri daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan seorang daripada DAP meninggalkan parti masing-masing untuk menjadi anggota Bebas yang menyokong BN.

"Dengan mengatakan bahawa mereka tidak menyokong mana-mana pakatan, mereka hilang kuasa tawar menawar. Mereka tidak akan mampu berunding untuk mendapatkan perkiraan yang lebih baik bagi kaum India kerana kedua-dua pihak dalam politik akan berasa curiga dengan mereka.

"Mereka mesti memilih satu pihak dan kekal dengannya agar lebih dipercayai. Mereka boleh menjadi golongan atas pagar jika mereka agak besar. Tetapi Hindraf hanya mengandungi satu kumpulan etnik. Jika mereka mempunyai orang Melayu, Cina, India dan kumpulan etnik lain dari Sabah dan Sarawak dengan mereka, baru mereka boleh kekal neutral kerana mereka mempunyai kekuatan," katanya.

Semalam, anggota Hindraf P. Waythamoorthy dan Uthayakumar mengenepikan satu lagi pakatan pilihan raya dengan pakatan pembangkang. Mereka telah mewujudkan satu pakatan dengan pembangkang pada pilihan raya umum 2008 yang menyaksikan satu peralihan dalam undi kaum India yang memihak pakatan pembangkang.

Sebuah akhbar harian tempatan Tamil melaporkan kedua-dua saudara itu sebagai berkata bahawa mereka bersedia meluaskan kerjasama mereka dengan mana-mana parti yang memerintah yang boleh membawa perubahan kepada kaum India.

Waythamoorthy, yang kini berada di London, berkata undi kaum India di 67 kawasan parlimen utama telah memberikan mata kemenangan kepada pakatan pembangkang di lima negeri dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada pilihan raya umum lepas.

Waythamoorthy yang tidak menyokong BN secara terang-terangan, juga mendakwa pakatan tidak melakukan apa-apa di negeri-negeri itu yang ditadbirnya bagi menamatkan pengabaian berterusan ke atas kaum India.

Masyarakat itu kini mempunyai enam parti politik bagi memenuhi keperluan mereka iaitu MIC, Barisan Kemajuan India Semalaysia (IPF), Parti Progresif Penduduk (PPP) walaupun pelbagai kaum, majoriti anggotanya adalah kaum India, Malaysia Indian United Party (MUIP), parti Makkal Sakti yang baru dilancarkan dan sebuah lagi parti yang sedang dalam proses di bawah naungan beberapa bekas pemimpin Hindraf.

Daripada enam parti itu, MIC dan PPP adalah parti komponen Barisan Nasional (BN) manakala IPF, MUIP dan Makkal Sakti merupakan rakan BN. Sebaliknya Hindraf sentiasa dilihat telah mengambil pendirian sebagai pembangkang.

Denison juga mempersoal pendirian parti itu kelak semasa pilihan raya dan menjelang pilihan raya.

"Bagaimana mereka akan membuat keputusan untuk mengundi. Anda hanya boleh mengundi satu parti. Adakah mereka akan mengisytiharkan siapa yang akan disokong pada malam sebelum pilihan raya? Ini merupakan amalan yang tidak baik. Mereka perlu memilih salah satu atau mereka akan menjadi tidak berkesan," katanya.

Beliau berkata Hindraf akan mampu mengambil pendirian sedemikian jika ia merupakan "pemerhati politik atau aktivis" tetapi kerana Hindraf merupakan pertubuhan politik ia tidak boleh bersikap seperti pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Pemerhati politik Ananthan Seenivasan, yang juga mengambil pendirian sama seperti Denison, berkata sebelum 2008, Hindraf tidak mendapat sokongan yang baik di kalangan kaum India dengan mengambil kira "kemarahan" masyarakat itu terhadap BN sebelum itu.

"Jadi apabila Hindraf menyokong pembangkang, kaum India menyokong pakatan pada pilihan raya umum 2008. Tapi sekarang, semua telah berubah. Saya tidak nampak mana-mana pemimpin menyokong Hindraf.

"Tidak ada pemimpin tertentu yang mendapat sokongan rakyat. Sokongan awal kepada Hindraf adalah disebabkan semangat dan gelombang yang terjadi pada waktu itu. Tapi sekarang ia sudah berpecah.

"Pelbagai parti diwujudkan daripada Hindraf dan mereka sendiri berpecah. Pemimpin Hindraf boleh berpegang dengan pendapat mereka tetapi keputusan muktamad hanya akan dibuat oleh pengundi kaum India sendiri.

"Mereka telah mencapai kematangan politik sejak dua ke tiga tahun lepas," kata Ananthan, yang pernah berkhidmat sebagai setiausaha politik kepada Menteri Kerja Raya.

Katanya pemimpin Hindraf keberatan untuk menyatakan pendirian politik mereka kerana tidak mewakili rentas penduduk masyarakat India di negara ini.

"Kaum itu kini memerhati apa yang sedang dilakukan untuk mereka. Ini akhirnya menjadi penentu di mana akan pergi undi kaum India. Ia tidak berbangkit jika Hindraf menyokong pakatan pembangkang atau BN. Kesudahannya, kaum India yang normal akan memutuskannya," katanya. - BERNAMA

iklan

Video

Isnin, 25 September 2017 2:24 PM

Bersama Abby Adalah Momen Indah - Memey

Isnin, 25 September 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nadia Brian Bawa 'Beg Doraemon'

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Kolumnis

iklan

Iklan